BELANJAWAN 2024 > BERITA

496 Ditahan, RM80.11 Juta Barangan Dirampas Dalam Op Tiris - Armizan

01/09/2024 02:54 PM

KUDAT, 1 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 496 individu dan merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta dalam Op Tiris 3.0 yang dijalankan antara 1 Jan hingga 28 Ogos lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh sama, sejumlah 29,487 pemeriksaan diadakan di seluruh negara dan sebanyak 2,005 kes direkodkan.

Beliau berkata pelaksanaan Op Tiris 3.0 penting dalam usaha mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis 1 kilogram.

"Kementerian akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lepas. 

Beliau berkata dalam serbuan terbabit, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian. 

"Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah hampir RM500,000," katanya sambil menambah seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan.

Armizan berkata hasil siasatan awal mendapati aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1 kilogram bagi jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata siasatan sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu.

"Kementerian ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg 1 kilogram agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

"Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan," katanya.

Beliau berkata syarikat pembungkus akan turut disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan