BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kerjasama VentureTECH-Bursa Saham Tokyo Untuk Lonjak IPO Syarikat Asia

02/09/2024 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd bekerjasama dengan Tokyo Stock Exchange Inc (TSE) dalam usaha untuk menyokong penyenaraian syarikat multinasional di bursa berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Redzuan Sidek berkata perkongsian itu bukan sahaja membuka lingkungan baharu bagi syarikat Malaysia, malah mengukuhkan komitmennya untuk memacu pertumbuhan perniagaan tempatan yang berpotensi tinggi.

“Dengan menyediakan akses kepada pasaran modal Jepun yang dinamik, kami membolehkan syarikat tempatan pada skala lebih pantas, menarik pelaburan strategik dan meningkatkan kehadiran pasaran mereka di peringkat global.

“Selain itu, kerjasama ini adalah bukti kepada visi VentureTECH untuk memperkasa usahawan bumiputera dan industri pertumbuhan tinggi di Malaysia, memudahkan pengembangan mereka ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya kerjasama strategik itu menandakan langkah penting ke arah mengukuhkan ekosistem kewangan rentas sempadan dan meningkatkan penyertaan Asia di pasaran modal Jepun.

Menurutnya kerjasama itu adalah sejajar dengan penubuhan TSE Asia Startup Hub, inisiatif oleh Bursa Saham Tokyo untuk menarik syarikat Asia berpotensi bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Jepun.

“Hab ini menyediakan sokongan meluas dalam pembangunan perniagaan, pengumpulan dana dan persediaan IPO, dengan matlamat untuk meningkatkan jumlah penyenaraian rentas sempadan di TSE.

“Melalui perkongsian ini, VentureTECH akan memberikan sokongan secara aktif sebagai respons kepada permintaan daripada TSE Asia Startup Hub,” katanya.

TSE Asia Startup Hub yang ditubuhkan untuk mengambil dan memupuk syarikat berpotensi tinggi dari seluruh Asia, memfokuskan untuk menyokong perjalanan mereka mulai peringkat pertumbuhan ke IPO, akan mula mengambil syarikat yang layak pada suku ketiga tahun ini.

TSE turut menawarkan panduan kepada syarikat yang berminat untuk mengembangkan operasi perniagaan di Jepun, menawarkan bantuan yang disesuaikan seperti padanan perniagaan, kebolehlihatan yang dipertingkatkan dan mempermudah jalinan dengan modal teroka Jepun dan pelabur korporat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan