BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pancaragam Sekolah Tinggi Jepun Sertai SIBOfest 2024 Sarawak

02/09/2024 06:33 PM

KUCHING, 2 Sept (Bernama) -- Pancaragam sekolah tinggi terkenal dari Jepun, Aikodai Meiden High School Symphonic Band dijangka menyertai Festival Pancaragam dan Orkestra Antrabangsa Sarawak (SIBOFest) yang akan diadakan pada 17 hingga 19 Sept ini di Lodge International School dan 20 Sept di hotel di sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival muzik empat hari itu menjadi platform bagi mengumpulkan pancaragam belia, orkestra, pakar industri, pendidik serta ahli muzik dari Malaysia dan Jepun.

“SIBOFest 2024 membuka peluang besar kepada kemajuan industri pelancongan di negeri ini dengan mengetengahkan kekayaan budaya dan bakat seni anak Sarawak ke mata dunia.

“Festival ini menawarkan gabungan pelbagai aktiviti menarik yang membolehkan pengunjung menyertai latihan muzik profesional dan merasai pengalaman kehidupan masyarakat tempatan, termasuk muzik tradisional dan makanan autentik,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Abdul Karim berkata Konsert Gala Penutup pada 20 Sept di sebuah hotel terkemuka di sini bakal menampilkan persembahan oleh pemuzik tempatan dan antarabangsa termasuk seperti At Adau, The Band Lab dan Aikodai Meiden High School Symphonic Band, yang pernah meraih pelbagai anugerah.

“Satu lagi tarikan di konsert ini ialah persembahan lagu tema SIBOFest 2024,  ‘Cat on the Waterfront’ yang digubah oleh komposer Jepun berusia 20 tahun, Keigo Makino.

“Gubahan lagu ini unik kerana ia merupakan hasil kerjasama antara komposer asing dan pemuzik termpatan berasaskan motif daripada lagu Dayak, ‘Bampa Lale’ Ame’ Tuyang’,” katanya. 

Beliau menambah setakat ini hampir 200 peserta dan lebih 15 pengajar dari seluruh Malaysia serta Singapura dan Jepun akan menyertai acara itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan