BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hari Kebangsaan : Tentera Malaysia-Indonesia Di Sempadan Pamer Momen Penuh Harmoni

02/09/2024 08:31 PM

JAKARTA, 2 Sept (Bernama) -- Momen penuh harmoni dirakamkan di sempadan Malaysia dan Indonesia apabila anggota tentera dari kedua-dua negara berkumpul di Pos Keselamatan Bersama Simanggaris, terletak berhampiran Sabah di Malaysia dan Nunukan di Kalimantan Utara pada Isnin.

Task Force Keselamatan Sempadan Yon Armed 11 dari Kostrad Indonesia mempamerkan semangat persaudaraan dengan mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan mereka daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67.

Acara itu berlangsung secara sederhana namun sangat bermakna, apabila anggota keselamatan dari kedua-dua negara yang bertugas di wilayah perbatasan saling berinteraksi dalam suasana penuh akrab, menurut Yon Armed 11 Kostrad.

“Kami mengucapkan selamat Hari Kebangsaan ke-67 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakan-rakan kami daripada TDM yang bertugas di perbatasan ini.

“Semoga semangat persaudaraan dan kerjasama antara kedua negara ini terus terjaga,” kata Komandan Pos Keselamatan Bersama Simanggaris, Leftenan Muda Toffano Adita Bangun, yang memimpin pasukannya.

Mereka kemudian meneruskan acara dengan memotong kek, sesi bergambar dan bertukar-tukar cenderahati sebagai simbol persahabatan, dengan gambar suasana dikongsi di media sosial rasmi.

Yon Armed 11 Kostrad melaporkan suasana hangat dan penuh kekeluargaan terlihat jelas, menunjukkan bahawa meskipun berasal dari negara yang berbeza para tentera di perbatasan tetap menjalin hubungan yang harmoni.

“Dengan adanya momen seperti ini, diharapkan hubungan antara Indonesia dan Malaysia semakin kukuh, terutama dalam kalangan anggota keselamatan di garis depan perbatasan,” catatnya dalam unggahan bertajuk, “Keharmonisan Tentera Indonesia dan Malaysia di Perbatasan”.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan