BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kemboja Teguh Dalam Usaha Perangi Berita Palsu

03/09/2024 03:32 PM

PETALING JAYA (Malaysia), 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kemboja kekal teguh dalam usahanya untuk memerangi cabaran yang timbul berikutan berita palsu, kata Menteri Penerangan Kemboja Neth Pheaktra.

Dalam era teknologi yang berkembang pesat termasuk kecerdasan buatan (AI), Pheaktra menegaskan bahawa semua pihak mesti bekerjasama untuk menguruskan perkembangan ini serta kesannya terhadap negara dan kerajaan masing-masing.

"Di zaman digital ini, kita berdepan dengan paradoks yang memberi implikasi mendalam. Alat yang membolehkan kita berkongsi pengetahuan dengan kelajuan dan jangkauan yang belum pernah terjadi sebelum ini, juga menjadi saluran bagi penyebaran maklumat salah dan kepalsuan.

"Ia merupakan cabaran unik yang memberi kesan kepada setiap aspek masyarakat, dari tadbir urus dan dasar awam hingga hubungan peribadi dan kepercayaan masyarakat," katanya dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Media Asia ke-19 (AMS) di sini pada Selasa, yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching.

Malaysia selaku tuan rumah AMS tahun ini sementara Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) bertindak sebagai sekretariat acara itu.

Dihadiri oleh beberapa penyiar terkemuka, pembuat keputusan, media, pengawal selia, cendekiawan dan pihak berkepentingan dari dalam dan luar rantau ini, Sidang Kemuncak Media Asia menyediakan platform untuk dialog antara kerajaan bagi meningkatkan piawaian industri media serantau.

Ketika maklumat palsu menjadi cabaran global, Pheaktra menekankan peranan media dalam membantu mencapai matlamat ini, sementara kerajaan sebagai penggubal dasar dan pihak berkepentingan akan bekerjasama dengan mereka untuk merealisasikannya.

"Di tengah-tengah perubahan dinamik global, sudah tiba masanya untuk media mengawal naratif bagi mewujudkan komuniti global yang lebih baik," katanya.

Beliau menegaskan Sidang Kemuncak Media Asia yang bermula pada 2004, adalah platform berharga untuk industri media membincangkan dan merancang pembangunan media.

Kemboja berbesar hati menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Media Asia ke-16 di Siem Reap pada 2019 dengan Inisiatif Angkor 'Anti-Berita Palsu', penyelidikan berita palsu pertama di Asia-Pasifik yang melibatkan media perkhidmatan awam utama telah dilancarkan, kata Pheaktra.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan