BELANJAWAN 2024 > BERITA

Lawatan PM Anwar: CIIM Optimis Terhadap Pengukuhan Hubungan Malaysia-India

03/09/2024 05:30 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India baru-baru ini, dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi dan strategik antara kedua-dua negara.

Pengerusi Konsortium Perindustrian India di Malaysia (CIIM) Datuk Umang Sharma menyatakan kegembiraannya terhadap hasil lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke India dari 19 Ogos lepas, terutamanya dalam meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Beliau berkata tahap kerjasama baharu ini menjanjikan peningkatan kerjasama dalam sektor yang sedang berkembang seperti semikonduktor, teknologi kewangan (fintech), tenaga boleh baharu dan syarikat pemula niaga.

“Kami optimis mengenai potensi peningkatan perdagangan dan pelaburan yang memberi manfaat kepada industri dan menggalakkan pertumbuhan kedua-dua negara.

“Perniagaan Malaysia akan mempunyai beberapa peluang baharu di India berikutan kerjasama yang dipertingkatkan antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama. 

Merujuk kepada ekonomi digital, Sharma berkata pertumbuhan peluang dijangka dalam teknologi maklumat 2.0, termasuk kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT) dan pengkomputeran awan. 

Beliau berkata kerjasama fintech juga dijangka berkembang di bawah perkongsian baharu itu.

“Eros Group dari India telah berjanji untuk melabur US$1 bilion (US$1=RM4.35) untuk membangunkan taman kecerdasan buatan dan studio filem di Malaysia. Ini adalah permulaan yang amat baik dan kami menjangka beberapa filem Bollywood akan dirakam di studio baharu ini,” katanya.

Sharma turut menekankan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam hubungan ekonomi Malaysia-India.

Mengakui kepentingan Forum CEO Malaysia-India, beliau menyokong forum CEO yang berasingan khusus untuk PKS, menekankan kepada keperluan penglibatan PKS yang lebih baik dari kedua-dua negara untuk menggalakkan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang ketara dan dalam jangka masa panjang.

Sharma berkata kepakaran Malaysia dalam semikonduktor dan elektronik dilihat sejajar dengan pasaran India yang semakin berkembang, menawarkan peluang untuk kerjasama teknologi antara syarikat dari kedua-dua negara.

Beliau berkata lawatan Anwar turut membawa kepada penubuhan Majlis Digital Malaysia-India dan India-Malaysia Start-up Bridge, inisiatif yang dijangka memudahkan operasi perniagaan yang lebih lancar dan membuka pasaran baharu untuk perusahaan Malaysia di India.

Sharma berkata potensi dalam sektor pelancongan, dengan pengunjung tahunan dari India ke Malaysia dijangka mencecah satu juta dalam masa terdekat selain kemungkinan lanjutan kemasukan tanpa visa untuk pelancong India ke Malaysia memberikan peluang besar kepada negara untuk menaik taraf tapak pelancongan dan kemudahannya.

“Bagi memanfaatkan peluang ini sepenuhnya, kita perlu meningkatkan kekerapan penerbangan dan memperkenalkan laluan baharu dari bandar raya India yang berbeza, membolehkan pelancong dari seluruh India mengunjungi Malaysia dengan mudah,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan India-Malaysia Start-up Alliance, kerjasama antara Invest India dan Cradle Fund Malaysia, bertujuan untuk memanfaatkan ekosistem syarikat pemula niaga India dan kerjasama ini menyasarkan urus niaga bernilai US$20 juta, menawarkan peluang yang besar kepada syarikat pemula niaga Malaysia.

Selain itu, Sharma menekankan potensi dalam sektor pemprosesan makanan, dengan perniagaan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan keupayaan mereka yang kukuh bagi menembusi pasaran India yang besar, diunjurkan mencecah US$535 bilion menjelang 2025-26.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan