BELANJAWAN 2024 > BERITA

Keputusan Tidak Telus Pentadbiran Terdahulu, Beri Peluang Kroni Jahanamkan Syarikat - PM Anwar

03/09/2024 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak keputusan tidak telus pentadbiran terdahulu yang memberi peluang kepada beberapa kroni menjahanamkan sesebuah syarikat, terutamanya syarikat yang menjadi simbol dan kebanggaan negara seperti Malaysia Airlines.

"Kadang-kadang keputusan politik atau negara yang tidak telus memberikan peluang kepada satu-dua kroni menjahanamkan suatu syarikat yang dibanggakan.

"Oleh kerana kesilapan itu, syarikat tersebut terbeban kepada kita sehingga kini,” katanya menerusi ucapannya pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional Bhd, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan yang dibuat atas niat untuk mempertahankan kepentingan beberapa kroni itu telah meminggirkan kepentingan negara serta rakyat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata usaha untuk memulihkan syarikat penerbangan negara itu telahpun dimulakan oleh Khazanah Nasional.

"Saya ucapkan tahniah kepada Khazanah. Tetapi ia mengambil masa. Bagi kerajaan, hampir setiap minggu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita bicara soal pemulihan dan reformasi; bagaimana untuk membantu menyelamatkan institusi negara,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan komited sepenuhnya untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan itu kerana ia adalah syarikat penerbangan nasional negara dan perlu bangkit kembali untuk meneruskan perkhidmatan yang cemerlang.

Selain itu beliau turut memuji syarikat lain di bawah kelolaan Khazanah yang mencapai kejayaan diluar negara seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang memiliki lapangan terbang Istabul Sabiha Göçken International di Turkiye. 

"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Turkiye Tayyip Erdoğan, beliau sebut akan keyakinannya terhadap syarikat MAHB untuk mengendali dan mengurus lapangan terbang penting diIstanbul. Ini menunjukkan keupayaan syarikat-syarikat di bawah kelola Khazanah," kata beliau.

Anwar berkata dalam era pasca normal yang dicirikan ‘kekacauan, kerumitan dan percanggahan’ Malaysia perlu memacu gerakan reformasi yang lebih segar dan segera selari dengan hasrat Ekonomi Madani untuk terus maju kehadapan. 

Justeru, amat penting untuk Khazanah menggalas tanggungjawab ini bagi menyokong gerakan islah dan pembaharuan kepada ekonomi negara, kata beliau.

Terdahulu, beberapa pakar penerbangan berpendapat bahawa kekurangan dalam rantaian bekalan, tenaga kerja dan alat ganti serta kelewatan penyerahan pesawat mendesak Malaysia Airlines beroperasi dalam "keadaan bermasalah".

Menurut Brendan Sobie, penganalisis bebas Sobie Aviation, firma analisis dan perundingan penerbangan bebas yang berpangkalan di Singapura, seperti banyak syarikat penerbangan lain, agak sukar untuk mengekalkan operasi berikutan kekangan yang berterusan dalam industri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Mereka (Malaysia Airlines) tidak bersendirian namun malangnya, mereka telah terjejas terutamanya dalam beberapa bulan lepas berbanding yang lain. Keadaan semakin meruncing beberapa bulan lepas, apabila tiada pesawat dan alat ganti mereka yang tersedia," katanya dalam wawancara dengan saluran berita CNBC baru-baru ini.

Pada 24 Ogos, Malaysia Aviation Group (MAG), yang mengendalikan Malaysia Airlines, mengumumkan rancangan untuk mengurangkan penerbangan dan laluan bagi tempoh antara sekarang hingga Disember 2024.

Keputusan itu dibuat sebagai tindak balas kepada gangguan terbaru dalam perkhidmatan mereka, yang menjejaskan Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal Services sepanjang minggu 19 Ogos, 2024.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan