BELANJAWAN 2024 > BERITA

Lawatan PM Gambarkan Hasrat Malaysia Terus Jalin Hubungan Dengan Rusia - Duta

03/09/2024 10:48 PM

Daripada Niam Seet Wei

VLADIVOSTOK (Rusia), 3 Sept (Bernama) -- Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia bermula esok, menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka berhasrat untuk terus menjalinkan hubungan dengan Rusia, kata Duta Besar ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Memetik kenyataan Perdana Menteri sebelum ini, Cheong berkata “kami berkawan dengan semua pihak”, walaupun menerima tekanan daripada pihak tertentu kerana isu geopolitik yang berterusan.

“Penyertaan Malaysia (dalam Forum Ekonomi Timur kesembilan) akan mencerminkan kedudukan dan posisi Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas berkawan dengan mana-mana negara dan tiada perasaan permusuhan.

“Kita tidak bermusuh dengan sesiapa daripada segi hubungan luar Malaysia, walaupun sekarang ini terdapat tekanan pihak tertentu yang sering memastikan bahawa sama ada anda (memilih pihak) dengan ahli (tertentu),” katanya kepada media Malaysia hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan tiba di sini pada Rabu pagi dan melakukan lawatan kerja dua hari ke Rusia hingga 5 Sept, menghadiri Forum Ekonomi Timur kesembilan (EEF) di Vladivostok, bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Rusia.

Antara program utama lawatan itu termasuk pertemuan bilateral dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS, kerana Rusia memegang jawatan Pengerusi BRICS pada 2024.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak memegang jawatan pada November 2022.

Cheong berkata difahamkan permohonan Malaysia sebagai ahli baharu BRICS itu, akan dibincangkan semasa sidang kemuncak BRICS 2024, yang akan berlangsung dari 22-24 Okt di Kazan, Rusia.

Beliau berkata Malaysia boleh menyumbang kepada BRICS berdasarkan pengalaman negara dalam isu pembangunan tertentu, terutamanya dalam industri kewangan Islam.

“Sebagai contoh, di Rusia, mereka telah bertemu kami dan ingin belajar berkenaan kewangan Islam, kerana Rusia mempunyai penduduk Islam yang ramai,” katanya.

Cheong berkata memandangkan BRICS lebih memfokuskan kepada kepentingan Global South, dengan menjadi sebahagian daripada organisasi antara kerajaan itu, ia akan membantu mempelbagaikan hubungan strategik dan hubungan ekonomi Malaysia.

“Ada tanggapan salah bahawa… apabila kita bercakap tentang BRICS, ia mengenai (sebuah negara) cuba untuk menentang, atau menjauhkan diri atau mengalihkan pakatan anda dengan mana-mana rakan perdagangan.

“Bukan itu. Saya fikir ia harus dilihat dalam konteks (kita) cuba mempelbagaikan, atau mewujudkan satu lagi pilihan perhubungan,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia berpegang kepada prinsip BRICS iaitu keterangkuman dan saksama dari segi kerjasama.

Sebelum ini dilaporkan Anwar sebagai berkata bahawa Malaysia pada 28 Julai 2024 telah menghantar permohonan kepada Rusia untuk menyertai BRICS berikutan kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.

“Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS, selain menyatakan keterbukaan untuk menyertainya sebagai negara anggota atau rakan strategik,” katanya.

Pada 18 Jun 2024, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi membangun terbesar, menyatukan Brazil, Rusia, India dan China. Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada tahun 2010.

Pada 1 Jan 2024, BRICS mengembangkan keahliannya untuk merangkumi Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan