BELANJAWAN 2024 > BERITA

Syarikat Korporat Diminta Bantu Industri Kreatif, Pacu Program Geran Padanan - Fahmi

04/09/2024 01:32 AM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Syarikat-syarikat korporat diharap terus membantu, khususnya menerusi program geran padanan bagi memastikan industri kreatif terus menyumbang kepada sektor itu serta ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Seiring usaha itu, beliau mengalu-alukan program seperti penyediaan 50 peratus dana oleh pihak kerajaan di bawah MyCreative Ventures dengan 50 peratus lagi disumbangkan oleh pihak korporat.

Sambil menyifatkan skim berkenaan sebagai satu model positif, beliau berkata para artis akan turut mendapat bantuan untuk mengusahakan karya-karya kreatif yang memberi impak kepada kepada ekonomi kreatif.

“Saya berharap lebih ramai rakan-rakan korporat akan tampil membantu dan sebagai bekas penggiat seni, saya lihat industri seni sememangnya memerlukan bantuan.

“Kita juga berharap lebih ramai mendapat manfaat melalui program geran padanan yang diusahakan oleh pihak MyCreative Ventures ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelancaran Kempen ‘Kita Bagi Jadi’ oleh CIMB Bank Bhd (CIMB) di sini, hari ini. 

Kempen penjenamaan baharu bersempena ulang tahun CIMB Malaysia ke-100 itu bertujuan menyebarkan semangat positif selain memupuk daya tahan dalam kalangan rakyat negara ini.

Ia turut menampilkan jaguh sukan tanah air Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan S. Sivasangari sebagai ikon dalam kempen berkenaan.

Selain itu, CIMB juga komited dalam memainkan peranan pemangkin pembangunan anak muda Malaysia menerusi kerjasama dengan Orkestra Belia Filharmonik Malaysia (MPYO).

Menerusi perjanjian selama setahun, CIMB dan MyCreative Ventures menjadi rakan kongsi MPYO yang turut melibatkan kem muzik, konsert dan seterusnya festival Rock n' Riuh MyCreative Ventures pada Disember ini.

“Saya cukup bangga dengan usaha sama ini kerana MyCreative Ventures sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Komunikasi, ditubuhkan untuk mengenal pasti dan membuat pinjaman atau pelaburan strategik bagi memastikan industri kreatif dapat menyumbang kepada ekonomi kreatif Malaysia,” kata Fahmi. 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Zainariah Johari yakin sumbangan MyCreative Ventures menerusi Skim Dana Padanan Kementerian Komunikasi dan disokong Kementerian Kewangan, dapat membantu dari segi meningkatkan profil serta ketampakan MYPO.

“Kita komited untuk memperkasa bakat Malaysia dalam bidang kreatif dan seni halus. Teras penajaan ini untuk golongan muda dan paling cemerlang di MPYO adalah aspek kedalaman emosi serta hubungan manusia yang dibawa oleh muzik kepada rakyat Malaysia," katanya. 

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank dan CIMB Malaysia Gurdip Singh Sidhu berkata sebagai penyokong utama keterangkuman kewangan, kumpulan itu kekal komited untuk memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab. 

"Selain sokongan pembiayaan yang diberikan kepada golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana mikro, CIMB juga komited untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai komuniti bagi program tanggungjawab sosial korporat 2024," katanya. 

— BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan