BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kementerian Komunikasi Beri Keutamaan Sektor Telekomunikasi, Ekonomi Kreatif Dalam Belanjawan 2025

04/09/2024 02:18 AM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Telekomunikasi dan ekonomi kreatif merupakan antara sektor yang menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2025. 

Menterinya Fahmi Fadzil berkata sektor telekomunikasi antaranya melibatkan capaian Internet terbaik di setiap sekolah rendah hingga Institut Pengajian Tinggi (IPT) manakala bagi ekonomi kreatif, usaha akan ditumpukan untuk memperkasakan pemain industri itu.  

“Sektor telekomunikasi ini kita lihat seperti yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sebut dalam beberapa acara ataupun forum (mengenai) usaha untuk pastikan, contohnya sekolah-sekolah, dan untuk IPT mendapat capaian Internet yang terbaik. Bukan hanya di luar bangunan tapi juga di dalamnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pelancaran Kempen CIMB Bank Bhd ‘Kita Bagi Jadi’ di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk meningkatkan ekonomi kreatif antaranya menerusi My Creative Ventures (MYCV) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Apa yang disebut sebagai ekonomi kreatif ini, yang dipelopori bukan hanya oleh pihak MYCV tetapi juga Finas akan menjadi satu keutamaan. Sebelum ini, kita tahu usaha pihak kerajaan melalui inisiatif seperti Insentif Filem Malaysia ataupun FIMI menjana hasil yang cukup positif dan cukup baik,” katanya.

Beliau berkata Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada 18 Okt ini akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan