BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hari Eksport Selangor 2024 Diunjur Tingkatkan Jumlah Perdagangan - MATRADE

04/09/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Hari Eksport Selangor 2024 diunjurkan akan meningkatkan jumlah perdagangan negeri itu dan mewujudkan lebih banyak syarikat terbabit dalam perniagaan eksport.

Ahli Lembaga Pengarah Kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Hazimah Zainuddin berkata unjuran itu berdasarkan nilai jumlah perdagangan sebanyak RM491.86 bilion atau 29.8 peratus dari jumlah keseluruhan iaitu sebanyak RM1.652 trilion dicatatkan pada 2023.

“Dari segi eksport pula, Selangor merupakan negeri ketiga terbesar dengan nilai eksport sebanyak RM332.79 bilion atau 23.3 peratus. Selangor merupakan sebuah negeri yang penting kerana ia merupakan penyumbang terbesar dalam jumlah perdagangan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, MATRADE berkata berdasarkan Daftar Pengeksport Malaysia (pangkalan data maklumat syarikat Malaysia yang berdaftar dengan MATRADE) setakat Ogos 2024, jumlah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

“Sebanyak 6,927 atau 50.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 13,774 syarikat Malaysia yang berdaftar dengan MATRADE. Selangor juga merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM406.1 bilion atau 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023 berbanding 25.5 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Hari Eksport Selangor 2024 adalah anjuran MATRADE bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Program itu bermula hari ini hingga 5 September depan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Ia diadakan bagi memperkukuhkan status negeri tersebut sebagai negeri penyumbang utama eksport negara selain dikenali sebagai hab terpenting bagi sektor pembuatan merentasi pelbagai industri.

Hari Eksport seterusnya akan diadakan di Ipoh, Perak dan di Kuala Lumpur pada bulan November 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan