BELANJAWAN 2024 > BERITA

Telefon Bimbit Tidak Dikaitkan Dengan Kanser Otak - Kajian Australia

04/09/2024 02:19 PM

CANBERRA, 4 Sept (Bernama-Xinhua) -- Telefon bimbit tidak dikaitkan dengan kanser otak, menurut satu kajian yang dijalankan oleh saintis Australia yang ditugaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.

Penyelidik dari Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) pada Rabu menerbitkan hasil kajian sistematik mengenai kesan kesihatan pendedahan gelombang radio daripada telefon bimbit.

Kajian yang ditugaskan oleh WHO itu menganalisis lebih 5,000 kajian yang dijalankan antara 1994 dan 2022 mendapati kadar tumor otak kekal stabil meskipun terdapat peningkatan kadar penggunaan telefon bimbit dalam tempoh yang sama.

"Apabila Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) mengklasifikasikan pendedahan gelombang radio sebagai kemungkinan karsinogen kepada manusia pada 2013, ia sebahagian besarnya berdasarkan bukti terhad daripada kajian pemerhatian manusia.

"Tinjauan sistematik ini menggunakan set data yang jauh lebih besar berbanding yang diperiksa oleh IARC, termasuk kajian yang lebih terkini dan komprehensif. Oleh itu, kami lebih yakin bahawa pendedahan kepada gelombang radio daripada teknologi ini tidak berbahaya kepada kesihatan manusia, " kata Ken Karipidis dari ARPANSA yang mengetuai kajian itu, dalam satu kenyataan media.

Kajian itu juga menyimpulkan bahawa tiada kaitan antara penggunaan telefon bimbit yang berpanjangan atau kekerapan penggunaannya dengan kanser.

Karipidis, yang juga naib pengerusi International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection, berkata hasil kajian ini konsisten dengan penyelidikan ARPANSA sebelum ini yang menunjukkan tiada peningkatan membabitkan kes kanser otak dalam tempoh 20 tahun yang lalu.

ARPANSA merupakan badan perlindungan radiasi utama kerajaan persekutuan Australia.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan