BELANJAWAN 2024 > BERITA

Mesyuarat Peringkat Menteri Ke-9 FOCAC Dirasmikan

04/09/2024 02:37 PM

BEIJING, 4 Sept (Bernama-CMG) -- Mesyuarat Peringkat Menteri ke-9 telah dirasmikan di sini pada Selasa sebagai persiapan bagi sidang kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) 2024.

Menteri Luar China Wang Yi berkata tema sidang kemuncak kali ini ditetapkan sebagai "Berganding Bahu untuk Memajukan Pemodenan dan Membina Bersama Komuniti Berkongsi Nasib China-Afrika yang Holistik" selaras dengan perkembangan sejarah dan aspirasi bersama rakyat China dan Afrika. 

Wang menyatakan keyakinan bahawa dengan usaha bersama semua anggota FOCAC, sidang kemuncak kali ini pasti akan menjadi satu lagi temasya yang signifikan dalam sejarah untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama China-Afrika, dan ‘batu tanda’ baharu bagi "Selatan Global" berganding bahu mengorak langkah ke arah pemodenan.

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun sejak Mesyuarat Peringkat Menteri ke-8 FOCAC, kedua-dua pihak terus menyemarakkan semangat kerjasama berdasarkan persahabatan tradisional, memupuk rasa saling percaya dalam bidang strategi yang berpaksikan arahan pemimpin negara, saling menyokong dalam menempuh jalan pembangunan mengikut acuan negara masing-masing.

“Kedua-dua pihak juga bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai pencapaian dan langkah yang melibatkan "Sembilan Projek" untuk memperkukuh hubungan bilateral supaya dapat melonjakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Afrika ke tahap baharu.

"Perpaduan dan penyelarasan yang lebih kukuh dalam kalangan 2.8 bilion rakyat China dan Afrika pasti boleh dijadikan momentum baharu bagi kerjasama Global Selatan dan menambah elemen baharu dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

"China akan sentiasa berdiri teguh bersama saudara Afrika, dan menyokong Afrika dalam hal ehwal Majlis Keselamatan PBB,” kata Wang.

Sementara itu, wakil-wakil negara Afrika berkata sejak FOCAC dilancarkan pada 2000, Afrika dan China saling menghormati atas dasar kesamarataan, dan berjaya mewujudkan situasi saling menguntungkan dan sama menang sehingga menjadi teladan dalam kerjasama antarabangsa dan membantu Afrika memperjuangkan nasibnya.

Pihak Afrika juga bersedia mengeratkan kerjasama dengan China untuk menjayakan sidang kemuncak kali ini, meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Agenda 2063 Kesatuan Afrika (AU) dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemukakan China, selain menggalakkan kerjasama komprehensif demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak.

Turut hadir, 300 orang menteri luar dan menteri ekonomi dari 53 negara Afrika, serta perwakilan dari pertubuhan serantau dan antarabangsa termasuk AU.

-- BERNAMA-CMG

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan