BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jokowi Puji Sokongan Vatican Untuk Keamanan Palestin Semasa Lawatan Paus

04/09/2024 02:58 PM

JAKARTA, 4 Sept (Bernama) -- Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Rabu memuji sokongan berterusan Vatican City terhadap keamanan di Palestin dan sokongan mereka terhadap penyelesaian dua negara.

Bercakap di Istana Negara di Jakarta semasa lawatan Paus Francis ke negara itu, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi menegaskan usaha itu penting bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan.

“Seperti yang kita semua ketahui, konflik dan peperangan sedang berlaku di pelbagai kawasan di dunia, termasuk di Palestin yang meragut lebih 40,000 nyawa. Peperangan tidak memberi manfaat kepada sesiapa dan hanya membawa penderitaan serta kesengsaraan kepada orang awam,” katanya.

Jokowi menekankan kepentingan menerima perbezaan dan meningkatkan toleransi untuk mempromosikan keamanan global dan mewujudkan dunia yang lebih baik.

Paus Francis, pemimpin Gereja Katolik dan Vatican City sedang dalam lawatan empat hari ke Indonesia atas jemputan Jokowi, yang akan berakhir pada Jumaat.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada jelajahnya di rantau Asia-Pasifik dan Jakarta adalah persinggahan pertama Paus Francis dalam lawatan 12 hari ke Asia.

Jokowi berkata bahawa lawatan Paus mempamerkan kepentingan meraikan kepelbagaian di Indonesia yang mempunyai 714 etnik dan 17,000 pulau, masing-masing mempunyai budaya, agama dan etnik yang tersendiri.

“Bagi Indonesia, perbezaan adalah satu rahmat dan toleransi adalah kunci kepada perpaduan dan keamanan sebagai sebuah negara,” katanya.

Beliau percaya bahawa semangat perdamaian dan toleransi yang diperjuangkan oleh Indonesia dan Vatican amat penting dalam dunia kini.

Paus dalam ucapannya memuji Indonesia atas kemampuannya untuk bersatu walaupun terdapat kepelbagaian, menegaskan bahawa menghormati perbezaan budaya dan ideologi menjadikan kepelbagaian sebagai aset yang bernilai.

Pemimpin itu turut mengecam keganasan yang menyamar sebagai semangat keagamaan, mengulangi komitmen Gereja Katolik terhadap keamanan dan menghormati semua agama serta menyatakan cabaran keamanan global akibat kurang menghormati perbezaan.

“Keamanan boleh dicapai jika semua orang berusaha ke arahnya, sama ada secara individu mahupun kolektif, mengatasi semua bentuk keganasan, perbezaan dan ketidakadilan sosial,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan