BELANJAWAN 2024 > BERITA

Paus Francis Diberi Sambutan Negara Di Istana Merdeka

04/09/2024 04:13 PM

JAKARTA, 4 Sept (Bernama-ANTARA) -- Paus Francis diberikan sambutan negara di Istana Merdeka, Jakarta pada Rabu.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) secara peribadi menyambut Paus semasa lawatannya, lapor agensi berita ANTARA.

Paus tiba di istana kira-kira 9:35 pagi waktu tempatan dengan kenderaan Toyota Innova Zenix berwarna putih, diiringi pasukan berkuda dan pancaragam kawad. Kereta itu membawanya mengelilingi kompleks Istana Presiden.

Di sepanjang laluan, kanak-kanak berpakaian tradisional berdiri mengibarkan bendera kebangsaan merah dan putih Indonesia dan bendera Kota Vatican untuk menyambut kedatangan Paus.

Jokowi dan Presiden terpilih Prabowo Subianto, serta beberapa menteri, seperti Menteri Hal Ehwal Luar Retno Marsudi dan Menteri Hal Ehwal Agama Yaqut Cholil Qoumas, kemudian mengalu-alukan ketua Gereja Katolik itu.

Paus Francis sedang melakukan perjalanan apostolik ke Asia Pasifik pada September 2024.

Lawatan beliau meliputi Indonesia, Papua New Guinea, Timor-Leste dan Singapura, dengan Indonesia, yang mempunyai 8.5 juta penganut Katolik.

Lawatan beliau ke Indonesia adalah dari 3 hingga 6 Sept.

Paus dijadual mengadakan pertemuan dengan Jesuit di Nunciature Apostolik di Indonesia.

Pada Rabu, beliau juga dijadual bertemu uskup, paderi, diakon dan lain-lain di Katedral Jakarta pada 4:30 petang waktu tempatan dan bertemu belia Scholas Occurrentes di Pusat Belia Graha Pemuda Senayan pada 5:35 petang waktu tempatan.

Pada Khamis, Paus akan mengambil bahagian dalam dialog antara agama di Masjid Istiqlal, Jakarta, kira-kira 9 pagi waktu tempatan disusuli pertemuan dengan penerima manfaat pertubuhan kebajikan di Pejabat Persidangan Uskup Indonesia (KWI).

Pada hari yang sama, beliau akan mempengerusikan misa suci besar di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada 5 petang waktu tempatan, yang akan dihadiri ribuan penganut Katolik. Beliau akan berlepas ke Papua New Guinea pada 6 Sept.

-- BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan