BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hab Pengetahuan MATRADE Bantu Syarikat Jana Peluang Pasaran Halal Global

07/09/2024 07:14 AM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE) sekali lagi akan menganjurkan program Hab Pengetahuan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif pimpinan pada acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia tahun ini (MIHAS 2024).

Program itu dijadualkan pada 19 Sept, 2024, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur bersempena MIHAS 2024 yang berlangsung pada 17-20 Sept 2024.

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pasaran global bagi barangan dan perkhidmatan dijangka mencecah US$5 trilion (RM23.54 trilion) menjelang 2030, sekali gus menekankan potensi bagi syarikat-syarikat Malaysia menyertai rantaian bekalan halal global.

“Berikutan itu, pada MIHAS kali ini, kami komited untuk memanfaatkan Hab Pengetahuan bagi melengkapkan syarikat-syarikat dengan ilmu serta mekanisme sewajarnya bagi merebut peluang dalam pasaran halal global.

“Seiring dengan tema MIHAS 2024 ‘Globalising Halal Innovations’ (Mengglobalisasikan Inovasi Halal), Hab Pengetahuan ini akan turut menghimpunkan kalangan pakar industri, penggubal dasar dan pemimpin perniagaan.

“Mereka akan berkongsi pengetahuan mengenai keperluan penyumberan, peluang, cabaran serta trend terkini yang membentuk pasaran halal global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reezal Merican juga menyifatkan Hab Pengetahuan sebagai platform penting bagi membolehkan pengeksport Malaysia meningkatkan pengetahuan selain saling bertukar idea untuk lebih memahami serta memanfaatkan pasaran halal global yang sentiasa berubah.

Selain itu, hab berkenaan juga meningkatkan lagi nilai MIHAS serta menyokong usaha strategik Malaysia untuk muncul sebagai hab pusat dalam rantaian bekalan halal global dan menjadi peneraju dalam bidang seperti trend pasaran antarabangsa, inovasi serta amalan mampan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata syarikat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan peluang dengan menyertai program berkenaan yang akan mengetengahkan strategi praktikal bagi membantu mereka mengekalkan kelebihan daya saing masing-masing.

“Hab Pengetahuan tahun ini akan menampilkan empat sesi panel bersama pakar yang diterajui oleh pemimpin persatuan perdagangan dan dewan perniagaan.

"Ini akan memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan pakar pasaran, termasuk kalangan pembeli premium yang akan menawarkan maklumat risikan pasaran yang penting dalam mengemudi kerumitan pasaran halal global,” katanya.

Sesi itu turut disertai pakar industri dan pembeli premium dari pasaran utama seperti Hong Kong, Taiwan, India, Kazakhstan, Amerika Syarikat, Turkiye, Ireland, New Zealand serta Indonesia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan