BELANJAWAN 2024 > BERITA

Harimau Malaya Juara Pestabola Merdeka 2024, Atasi Lubnan 1-0

08/09/2024 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pasukan bola sepak negara menghadirkan kegembiraan apabila menjuarai Pestabola Merdeka 2024 dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Lubnan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.

Jaringan kemenangan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente itu disumbangkan penyerang naturalisasi Romale Morales ketika permainan memasuki suku ketiga separuh masa pertama.

Kemenangan ke atas pasukan di ranking dunia ke-116 itu menyaksikan Malaysia (di ranking ke-134) meraih gelaran pertandingan bola sepak tertua di Asia itu buat kali ke-13 sejak diperkenalkan pada 31 Ogos 1957 dengan kali terakhir memenanginya pada 2013.

Terdahulu, Vicente melakukan enam perubahan dalam kesebelasan utama skuad yang bertemu Filipina Rabu lepas, antaranya Endrick Dos Santos dan Muhammad Safawi Rasid di bahagian tengah; Muhammad Syafiq Ahmad (penyerang) dan pemain pertahanan La’vere Corbin Ong.

Percaturan Vicente berjaya menceriakan kira-kira 10,000 penyokong menerusi gaya permainan yang berani, pantas dan stabil sebelum Safawi menguji gawang Lubnan dengan sepakan percuma yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Mehdi Khalil pada minit ketujuh.

Selepas kira-kira 30 minit mendominasi perlawanan, Malaysia berjaya memecah kebuntuan gol selepas Morales menyudahkan hantaran bijak Dos Santos dalam kotak penalti yang gagal ditampan kemas Mehdi pada minit ke-33 sekali gus mendahului 1-0 di separuh masa pertama.

Lubnan kendalian Miodrag Radulovic hampir dibolosi kali kedua, namun Mehdi bertindak cemerlang menepis percubaan jarak dekat pemain sayap gantian Arif Aiman Mohd Hanapi yang menggelecek pemain pertahan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri pada minit ke-53.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu terus menjadi tembok penghalang gol kedua pasukan negara selepas bijak menutup ruang untuk menyelamatkan sepakan lemah pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid dari jarak dekat pada minit ke-57.

Lubnan yang sesekali melancarkan serangan menyaksikan penyerangnya Karim Darwich terlepas peluang menyamakan kedudukan selepas tandukan padu beliau tepat ke penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-67.

Berbaki kira-kira 10 minit permainan, Lubnan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan Khalil Khamis diperintahkan keluar padang susulan mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Muhammad Akhyar pada minit ke-78.

Kedudukan 1-0 kekal berpihak Malaysia sehingga wisel penamat, menyaksikan ini merupakan kemenangan pertama Malaysia ke atas Lubnan selepas kalah dalam dua pertemuan terakhir pada saingan kumpulan pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Lebih manis, ini merupakan piala pertama buat Vicente selepas hanya dua kali membimbing pasukan negara sejak dilantik menggantikan Kim Pan Gon yang meletakkan jawatan secara mengejut Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan