BELANJAWAN 2024 > BERITA

Muhammad Sanusi Nafi Lepas Tangan Terhadap KDA FC

08/09/2024 06:50 PM

SUNGAI PETANI, 8 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan pihaknya mengambil sikap lepas tangan terhadap pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini didakwa sedang menghadapi masalah kewangan.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata sebelum ini persatuan itu telah membantu pasukan terbabit untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi melayakkan ia bertanding dalam saingan Liga Super.

“Bukan saya tak mahu ambil tahu, ia bukan urusan yang patut saya utamakan pasal ia telah diswastakan. Dulu masa KFA yang kendalikan, kita usaha untuk dapatkan tajaan.

“Tahun ini pun, walaupun ia telah menjadi swasta, kita bagi sumbangan melalui KFA, bayar untuk keperluan dapatkan lesen, tahun ini sahaja RM2 juta, jangan kata MB (Menteri Besar) buat tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Festival Insan Sejahtera di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata bagi perkara berkaitan pengurusan pasukan, syarikat terbabit perlulah mengusahakan sendiri untuk mendapatkan dana.

“Ada warga siber saya tengok kata kat saya macam-macam pasal bola sepak, depa (mereka) tak faham kot, pasukan bola sepak telah diswastakan, bukan pasukan di bawah persatuan bola sepak negeri atau mewakili kerajaan negeri, tapi kita sokong setakat yang kita boleh.

“Ada tajaan oleh anak syarikat-anak syarikat kerajaan negeri masih berjalan, tapi tak mampu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pemain KDA FC memboikot sesi latihan ekoran dakwaan tidak menerima bayaran gaji sejak beberapa bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan