BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pelajar Hidap Kanser Payudara Terima Bantuan KEDA

08/09/2024 06:41 PM

KUALA NERANG, 8 Sept (Bernama) -- Kesulitan hidup seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) yang menghidap kanser payudara mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang tampil menyampaikan sumbangan hari ini.

Wan Fahimah Wan Mohamad Othman, 27, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dari Kampung Kepala Batas, Pedu di sini menerima kunjungan Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan menerima derma melalui Tabung Sumbangan Kasih KEDA.

“Kita juga akan membantu membaik pulih rumahnya dengan kos kira-kira RM15,000 melibatkan pembaikan bumbung rumah dan bilik air bagi memberi keselesaan kepada Wan Fahimah dan keluarganya.

“Ibunya juga penerima geran bantuan ekonomi KEDA melalui Program Peningkatan Pendapatan bagi perniagaan kuih-muihnya tahun lepas dan keluarga ini menetap dalam kawasan operasi KEDA yang akan kita bantu sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah keluarga Wan Fahimah di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff dan Dekan Kulliyah Usuluddin Sains Al-Quran dan Bahasa Arab UniSHAMS Dr Mohamad Hazli Ismail serta kakitangan KEDA.

Sementara itu, Wan Fahimah yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak KEDA yang prihatin dengan penderitaan ditanggung selama ini.

Dia berkata selain KEDA, sumbangan turut diterima daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan pihak badan bukan kerajaan (NGO), yang akan digunakan sebaik mungkin untuk rawatan susulan serta pengajian.

"Alhamdulillah, saya ada terima sumbangan orang ramai, LZNK pun bagi bantuan bulanan RM500 dan biasiswa pun sudah dapat semula sebanyak RM7,000 berbanding RM6,000 sebelum ini, manakala bantuan daripada MAKNA (Majlis Kanser Nasional) sebanyak RM200 sebulan.

“Hari ini KEDA pula datang ziarah saya bertanya khabar dan memberi bantuan. Alhamdulillah, terasa ringan beban saya sekeluarga kini,” katanya yang menderita penyakit kanser payudara tahap tiga sejak Jan lepas.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Fahimah terpaksa menangguhkan pengajian pada semester lima untuk menjalani kemoterapi dan pada masa sama bekerja separuh masa sebagai tukang cuci di Pantai Merdeka bagi menampung kos rawatan kanser.

Bapanya, Wan Mohamad Othman Ismail, 56, seorang pengawal keselamatan di sebuah stor manakala ibunya Rodhiah Safie, 49, seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Datin Fatimah, di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan