BELANJAWAN 2024 > BERITA

Subramaniam Ambil Tanggungjawab Pencapaian Di Paris 2024

08/09/2024 10:44 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 8 Sept (Bernama) -- Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024 Datuk R. Subramaniam mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran empat emas ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Katanya beliau menerima pencapaian membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya sukan empat tahun itu kali ini dengan hati terbuka.

“Kami cukup berani untuk menyasarkan empat emas kerana itu adalah penilaian sebelum bertolak ke Paris 2024.

“Namun, setibanya pada hari pertandingan, atlet tidak berputus asa cuma lawan mereka jauh hebat daripada mereka,” katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di luar perkampungan sukan di sini hari ini.

Beliau mengambil contoh situasi Datuk Abdul Latif Romly yang seakan mengesahkan emas hatrik acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) menerusi catatan 7.45 meter (m) sebelum lompatan akhir Matvei Iakushev mewakili Atlet Paralimpik Neutral (7.51m) merampas emas dimenanginya sejak Rio 2016.

Justeru, Subramaniam berpendapat kontinjen negara mungkin memandang rendah keupayaan atlet negara lain sehingga menyebabkan mereka terlepas buruan emas seperti apa yang berlaku terhadap Latif Romly dan juga jaguh lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli yang turut menyumbang perak selepas emas disambar atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi

“Mungkin prestasi pencabar Ziyad meningkat dengan ketara...jadi kita mungkin telah mengambil mudah pihak lawan. Jika anda menyertai pertandingan , anda mesti mengetahui kemampuan lawan,” katanya.

Dua emas negara disumbang jaguh badminton para Cheah Like Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72kg manakala gangsa pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Agung MPM berkata satu perubahan radikal perlu dilakukan termasuk memperkasakan ekosistem sukan sedia ada bagi menjamin kecemerlangan atlet paralimpik negara bermula dari peringkat akar umbi.

Katanya perbincangan bagi melakukan perubahan drastik tersebut perlu melibatkan pelbagai pihak antaranya MPM, Majlis Sukan Negara, persatuan sukan kebangsaan dan para atlet.

“Kesedaran mengenai Sukan Paralimpik semakin tinggidalam kalangan negara luar. Dahulu mereka tak endah namun sekarang sudah tunjuk minat dan melabur seberapa banyak yang boleh.

“Jadi kita tidak boleh duduk dan fikir zaman kegemilangan kita akan kekal selamanya. Oleh itu perlu mengambil langkah prubahan yang drastik,” katanya.

Prestasi kali ini juga dilihat merudum berbanding Rio 2016 dan Tokyo 2020 yang masing-masing menyumbang tiga emas.

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos akan melabuhkan tirainya dengan upacara penutup di Stade de France dijadual berlangsung 8.30 malam ini waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan