BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pesona Air Terjun O'ong Pejik Persis Niagara Falls, Memukau Pencinta Alam

09/09/2024 08:32 AM
From: Balkish Awang

Tersorok jauh di pedalaman membuatkan Air Terjun O'ong Pejik di Lusong Laku di sini, kekal terpelihara daripada pembangunan komersial, sekalipun keindahan kawasan riadah air ini  disetarafkan “Niagara Falls Malaysia”.

Berketinggian enam meter atau 20 kaki, air terjun di Sungai Linau ini membentuk percikan halus bak kabus di permukaan sungai, menghasilkan panorama indah persis Niagara Falls atau Air Terjun Niagara, satu daripada keajaiban dunia di benua Amerika Utara.

Terletak berhampiran Empangan Bakun, Lusong Laku merupakan kawasan gunung berapi yang pernah meletus suatu ketika dahulu, dan kini didiami kebanyakannya etnik Penan.

Untuk tiba di Lusong Laku bukan mudah, dan ini dilalui sendiri oleh penulis yang menyertai Program Media Turun Padang di Sarawak anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) baru-baru ini.

Perjalanan sejauh lebih 200 kilometer dari Bintulu, mengambil masa kira-kira 10 jam dengan dua pertiga daripada tempoh itu dihabiskan di laluan balak. Bermula dari  Simpang Murum, Bakun ke Lusong Laku di sini, kami meredah laluan tidak bertar yang berlubang sebesar kawah kecil selain menyusuri tebing sungai dan mendaki kawasan curam.

 

HILANG PENAT

Melewati kawasan pergunungan yang menghijau serta bertemu  beberapa sungai kecil yang mengalir deras, melencongkan rasa sakit dilantun kenderaan pacuan empat roda.

Namun kesakitan serta keletihan itu lenyap tatkala kenderaan yang kami naiki menghampiri perkampungan Sungai Linau dengan deruan air terjun O’ong Pejik begitu jelas kedengaran. Pemandangan yang menyambut kami membuatkan penulis terlupa tempoh memenatkan 10 jam perjalanan.  

Terpikat dengan keunikan air terjun itu, penulis mencari masa mendekati Tinggang Jati, Ketua Umum Rumah Panjang Lusong Laku bagi mendalami sejarah kawasan berkenaan.

Menurut Tinggang, 43, O’ong Pejik merupakan bahasa Penan bermaksud air terjun dalam bahasa Melayu.

"Namun orang luar memanggilnya Wong Pejik. Seperti yang dapat kita saksikan, keunikan air terjun ini kerana bentuk semula jadi yang tidak dijumpai di tempat lain di negara ini. Aliran airnya menjunam dan menghempas permukaan sungai menghasilkan percikan yang kelihatan seperti kabus,” kongsinya.

Tinggang berkata selain O'ong Pejik, terdapat tiga lagi air terjun di sekitar kawasan berkenaan, iaitu O'ong Buvung, O'ong Lakeik Bra'an dan O'ong Bem.

"O'ong Buvung terdapat di Sungai Linau bersebelahan hilir O'ong Pejik dengan jarak perjalanan memakan masa lebih 30 lebih minit, manakala O'ong Lakeik Bra'an dan O'ong Bem mengambil masa kira-kira setengah jam berjalan kaki untuk ke sana," katanya.

Malah katanya, nama Lusong Laku itu sendiri diambil bersempena dengan bentuk muka buminya, iaitu “lusong” bermakna bentuk muka bumi sungai yang berjeram dengan air deras, sementara “laku” pula merujuk tanah rata yang subur tinggalan lahar gunung berapi.

 

LUBUK REZEKI

Tinggang berkata O'ong Pejik merupakan lubuk rezeki buat mereka yang gemar memancing apabila tiba musim kemarau.

"Semasa musim kemarau, penduduk dan pengunjung yang datang tidak melepaskan peluang untuk memancing, memukat dan menjala ikan air tawar.  Antara ikan yang ada di air terjun ini ialah empurau, semah, baung kuning dan ikan batu.

"Ini merupakan aktiviti tumpuan penduduk di Sungai Linau untuk mereka mencari rezeki kerana ia paling mudah serta berdekatan dengan rumah selain tidak memerlukan kos," katanya.

Bercerita lanjut, Tinggang berkata O'ong Pejik amat terkenal di era 1980-an dan menjadi tumpuan pelancong luar negara yang datang untuk menikmati keindahan air terjun berkenaan.

Namun, katanya, sejak akhir-akhir ini bilangan pengunjung luar berkurangan, mungkin disebabkan oleh perjalanan yang jauh selain keadaan jalan raya yang teruk.

"Walaupun begitu, masih ada pengunjung dari dalam negara dan negeri serta orang tempatan yang membuat program untuk datang ke O'ong Pejik.

“Namun saya amat mengharapkan kecantikan air terjun ini diberi perhatian oleh pihak kerajaan dengan menjadikannya sebagai tempat rekreasi dan pelancongan yang terkenal di Malaysia serta dunia," katanya yang meminta kerajaan menambah baik infrastruktur, khususnya jalan raya ke kawasan berkenaan.

Selain itu, kawasan tersebut juga perlukan pondok rehat, tandas selain kemudahan-kemudahan seperti sampan dan kayak bagi membolehkan pengunjung meneroka keindahan air terjun.

"Saya percaya dengan adanya kemudahan seperti itu akan dapat menarik perhatian lebih ramai pengunjung untuk datang ke air terjun O'ong Pejik ini, sekali gus menjadi satu destinasi pelancongan dikenali di Malaysia," katanya.

 

HOMESTAY SUNGAI BUANG 

Tidak perlu gusar untuk bermalam di Lusong Laku kerana ada beberapa inap desa, antaranya  Homestay Sungai Buang yang tidak jauh dari air terjun itu.

Rumah dua tingkat ini mempunyai enam bilik tidur serta lima bilik air dengan pakej yang turut merangkumi sarapan, makan tengah hari dan malam. Rumah ini juga mempunyai dapur bagi yang ingin memasak sendiri.

Pemiliknya John Mering, 60, berkata beliau memulakan perkhidmatan itu pada Mac 2022 namun secara sambilan kerana masih bekerja sebagai pembantu tadbir di Sekolah Kebangsaan Tegulang (SK), Murum, tidak jauh dari Lusong Laku.

  “Selepas bersara pada Oktober tahun lepas, saya memberikan sepenuh perhatian pada inap desa ini,” katanya, menambah beliau membeli tanah seluas dua hektar untuk diusahakan sebagai kebun sebelum dibangunkan inap desa berkenaan.

"Saya beli tanah ini semasa menetap dan bertugas di SK Lusong Laku dari 2009 hingga 2019 sebelum ditukarkan ke SK Tegulang. Bila pencen, saya kembali ke sini,” ceritanya lagi.

Beliau berkata sejak dibuka, inap desa itu menerima sambutan menggalakkan, khususnya daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang datang bagi menjalankan program di kawasan tersebut.

"Ada tetamu dari Sarawak dan dari luar Sarawak. Tarikan yang ada di Lusong Laku apabila pengunjung datang sudah tentu O'ong Pejik, terutama bagi mereka yang suka memancing," katanya.

John yang dibantu isterinya Siah Igang,62, berkata ada juga pengunjung yang datang semata-mata mahu menikmati keindahan alam semula jadi termasuk meneroka bekas kawah gunung berapi.

 

KOMUNITI PENAN

Lazimnya, pengunjung yang datang tidak akan pulang dengan tangan kosong. Sebaliknya mereka akan membeli kraf buatan masyarakat Penan yang mendiami Rumah Panjang Lusong Laku.

Komuniti wanita Penan aktif menghasilkan pelbagai produk anyaman rotan penuh kreatif seperti beg galas, beg sandang, sumpit serta tikar.

Mendapat bimbingan daripada Kraftangan Malaysia, produk hasil tangan komuniti Penan ini dipasarkan di pelbagai tempat termasuk Kuching serta Semenanjung Malaysia.

Buat pencinta alam semula jadi yang dambakan kedamaian, Lusong laku merupakan lokasi yang harus dikunjungi kerana masih belum dinodai hingar bingar pengkomersialan buat masa ini.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan