BELANJAWAN 2024 > BERITA

MCMC Laksana Tinjauan Terhadap Portal Aduan Pengguna

09/09/2024 01:49 PM

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan soal selidik mengenai pengalaman pengguna terhadap saluran utama penyelesaian aduan pengguna MCMC yang dikenali sebagai Consumer Redress Portal (CRP).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan objektif utama tinjauan ini adalah untuk menilai kepuasan pengguna terhadap pengalaman semasa proses pendaftaran akaun CRP dan untuk mendapatkan maklum balas pengguna bagi penambahbaikan portal CRP.

“CRP berfungsi sebagai platform bagi pengguna menyelesaikan pertikaian aduan yang telah disalurkan kepada penyedia perkhidmatan, yang dianggap tidak diselesaikan dengan wajar. 

“Penilaian semula aduan bertujuan mencapai penyelesaian di peringkat forum industri dan MCMC, serta memastikan pematuhan penyedia perkhidmatan terhadap peraturan kawal selia yang berkuat kuasa,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, pemberitahuan mengenai soal selidik ini telah disiarkan di laman sesawang dan platform media sosial MCMC.

Soal selidik ini akan dilaksanakan bermula dari 9 Sept hingga 6 Okt 2024 melalui platform dalam talian dan MCMC telah mengenal pasti individu mengikut kriteria yang ditentukan bagi menyertai soal selidik ini berdasarkan data sistem aduan sedia ada.

Menurut MCMC, data peribadi seperti nama penuh, maklumat kad kredit/debit, atau butiran bank tidak akan diguna pakai bagi sesi soal selidik ini, dan penyertaan adalah secara sukarela, namun begitu, kerjasama daripada orang ramai amat dihargai.

“Bagi melindungi data yang dikumpul melalui soal selidik ini, pengguna disarankan untuk membuat tetapan privasi pada peranti yang digunakan.

“Data soal selidik yang dikumpul akan disimpan serta dilindungi dengan selamat oleh MCMC.” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa tujuan soal selidik ini adalah untuk pengumpulan data sahaja.

Sebarang perubahan pada tempoh soal selidik akan diumumkan di laman sesawang MCMC: www.mcmc.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan