BELANJAWAN 2024 > BERITA

DNS: MCMC Anjur Sesi Libat Urus Dapatkan Cadangan Pihak Berkepentingan

09/09/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menganjurkan program libat urus bersama syarikat-syarikat teknologi bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan pengalihan Domain Name System (DNS).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi itu bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas dan membetulkan persepsi masyarakat mengenai isu DNS.

Suruhanjaya itu memaklumkan, libat urus itu juga bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk pakar, mengenai pendekatan alternatif dalam menangani isu kandungan memudaratkan (online harms).

“Pada sesi libat urus tersebut, perkara yang dibincangkan melibatkan pengurusan DNS dan usaha-usaha oleh MCMC dalam memerangi kandungan memudaratkan menerusi kempen advokasi dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan.

“Program ini diteruskan dengan sesi soal jawab interaktif dan para peserta berkongsi pandangan dan cadangan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu pengalihan DNS secara proaktif dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan. 

Menurut MCMC, melalui program seperti itu, suruhanjaya berkenaan berharap isu-isu kritikal seperti pengalihan DNS dapat difahami dengan lebih baik dan langkah-langkah konkrit dapat diambil untuk melindungi kepentingan pengguna Internet di Malaysia.

Justeru, suruhanjaya itu akan terus mengadakan sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan lain dari semasa ke semasa berhubung isu DNS ini.

Sementara itu, MCMC memaklumkan, peserta yang hadir pada sesi itu menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai tepat pada masanya dan merupakan wadah terbaik bagi menjawab segala kekeliruan atau ketidakfahaman mengenai isu DNS.

Penolong Naib Presiden Bahagian Digital dan Teknologi, Pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Muhammad Zainul Arifin Zainuddin berkata penganjuran sesi libat urus itu adalah satu inisiatif ikhlas dan permulaan yang baik.

Pengasas Ascendant Enterprise Victor Tan pula berpandangan sesi libat urus berhubung isu DNS itu perlulah lebih meluas dan tidak terhad kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.

Terdahulu, sesi libat urus berkenaan dikendalikan Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dan Ketua Kaunsel Perundangan MCMC LS. Leonard.

Sesi itu turut disertai Ketua Bahagian Pengurusan Keselamatan Rangkaian dan Maklumat MCMC Syed Mokhsien Syed Mansor dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknologi Responsif dari Cybersecurity Malaysia Mohd Zabri Adil Talib, wakil-wakil syarikat teknologi serta pihak industri.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan