BELANJAWAN 2024 > BERITA

Penghalaan Semula DNS: Tiada Garis Masa Ditetapkan Untuk Sesi Libat Urus MCMC - Teo

09/09/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Tiada garis masa ditetapkan untuk sesi libat urus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pelaksanaan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS) berikutan keputusan untuk menghentikan pelaksanaannya, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata usaha yang dilakukan oleh MCMC sepatutnya lebih meluas, dengan keperluan untuk menggandakan libat urus mereka terutamanya melibatkan komuniti teknologi.

"Saya percaya bahawa dalam isu ini, terdapat lebih ramai pakar yang ingin berkongsi pengalaman mereka dengan kami, dan saya mengalu-alukan mereka. Sebab itu kami tidak menetapkan sebarang garis masa kerana kita tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan.

"Kami mahu MCMC melakukannya dengan betul dan menyeluruh. Jika mereka memerlukan masa satu bulan, sila lakukan atau jika mereka memerlukan masa tiga bulan, biar mereka lakukannya.

"Saya berpendapat adalah sangat penting bagi negara, komuniti teknologi untuk memahami niat dan selepas itu akibatnya, saya fikir ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh mengambil mudah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pos Shop ke-36 di Pejabat Pos Pudu di sini hari ini.

Teo berkata demikian ketika ditanya mengenai arahan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam untuk menghentikan pelaksanaan penghalaan DNS dan cadangan menteri supaya MCMC terus mengadakan sesi libat urus berhubung perkara itu.

Beliau turut menyentuh cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia terutamanya perjudian, pornografi dan jenayah dalam talian kerana ia semakin serius.

"Anda boleh lihat, itulah tujuan MCMC, saya yakin ia bagus, bagaimanapun tidak ada gunanya kita melaksanakan beberapa dasar tanpa rundingan yang sewajarnya.

"Kemudian sebelum anda (melaksanakannya).. dapatkan sokongan daripada komuniti (terlebih dahulu) terutamanya dalam isu ini, daripada komuniti teknologi,” katanya.

Terdahulu, Teo merasmikan Pos Shop Pudu, yang juga Pos Shop ke-36 di sini hari ini.

Pos Shop menyediakan penyelesaian sehenti bagi komuniti setempat, dengan menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan dengan ruang runcit yang menawarkan keperluan harian dalam suasana membeli-belah yang selesa. 

Pos Shop turut menyediakan Pos Kafe dengan pelbagai pilihan makanan termasuk minuman dan makanan segera, selain menjual barangan keperluan harian, produk penjagaan diri, dan keperluan isi rumah.

Pos Malaysia turut menyasarkan untuk menambah 14 lagi cawangan Pos Shop di negeri-negeri utama bagi menjadikan jumlah keseluruhan kepada 50 kedai di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini. 

Turut hadir Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia Fiona Liao.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan