BELANJAWAN 2024 > BERITA

Perbincangan Antara Petros, Petronas Masih Dijalankan - Abang Johari

09/09/2024 04:10 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Sept (Bernama) -- Anak syarikat kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), masih dalam proses perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkaitan penyeliaan perdagangan minyak dan gas (O&G) di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas laporan yang mendakwa perbincangan itu kini menemui jalan buntu, beliau sebaliknya menegaskan bahawa tempoh akhir bagi perbincangan kedua belah pihak itu masih kekal sebelum 1 Oktober.

“Petros akan bekerjasama dengan Petronas dalam pembangunan aktiviti huluan dan hiliran. Inilah sebabnya saya katakan bahawa ia (media) mungkin telah disalah maklum atau (mendapat) data atau input salah sejak dua hari lepas," katanya kepada pemberita di luar persidangan APPEC 2024 di sini, hari ini.

Abang Johari juga menegaskan bahawa “tiada sebarang isu antara kami dengan Petronas.”

Diminta mengulas mengenai laporan media mengenai kemungkinan Petronas mengambil tindakan undang-undang, beliau berkata : “Kami tidak tahu menahu mengenainya. Anda kena tanya Petronas mengenai perkara itu.”

Beliau turut memberi jaminan bahawa kontrak jangka panjang berkaitan gas asli cecair (LNG) dengan rakan-rakan niaga Korea Selatan dan Jepun juga tidak akan terjejas walaupun Petros agregator gas tunggal di Sarawak.

“Tiada apa yang berlaku. Anda juga harus sedia maklum bahawa kerajaan Sarawak mempunyai ekuiti dalam LNG dan kerana kami ada kepentingan dalam LNG, saya tidak rasa kami mahu menjejaskannya.

“Oleh itu, kontrak-kontrak sedia ada kami dengan pelanggan kekal tidak terjejas,” katanya.

Mengambil maklum terhadap kebimbangan kalangan industri mengenai kemungkinan berlakunya gangguan bekalan gas jika Petros memikul peranan sebagai agregator, Abang Johari sebaliknya memberi jaminan dengan berkata : “Ini tidak akan berlaku. Kami ada kepentingan, baik dalam operasi huluan dan hiliran, oleh itu bekalan LNG ini akan diteruskan seperti biasa.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan