BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hak Asasi, Kebebasan Perlu Diiringi Tanggungjawab Untuk Jamin Keamanan Negara - Anwar

09/09/2024 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Harus ada kefahaman dan kecelikan dalam kalangan rakyat bahawa hak asasi dan kebebasan harus diiringi dengan tanggungjawab bagi menjamin keamanan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kebebasan jika tidak dikawal dengan undang-undang akan menjadikan negara porak-peranda, terutamanya apabila menyentuh isu berkaitan dengan keganasan atau menimbulkan ketegangan kaum.

"Apa pun alasan, dan kalau pun saya diserang oleh media antarabangsa, saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara ini," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Suhakam ke-25, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi Suhakam Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Anwar berkata rakyat harus faham bahawa tindakan harus diambil jika terdapat pihak yang mempertikai isu seperti yang berkaitan dengan 3R (kaum, agama, raja) yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.

"Dalam Majlis Raja-Raja Melayu, mereka bangkitkan mereka bukan (ahli) politik, mereka tidak terlibat dengan politik, mereka tidak mudah menjawab serangan setiap hari dan sekiranya kecaman itu dibuat yang akan menjejaskan tonggak Perlembagaan negara kita, maka tentunya tindakan harus diambil. 

"Ini sudah disepakati, tidak ada parti dalam negara Malaysia yang akan mempertikai keperluan kita untuk tidak ‘menghujat’ dan menggugat sistem Raja di negara kita," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau membangkitkan perkara itu supaya Suhakam memahami bahawa undang-undang perlu ada untuk menyelamatkan negara daripada hasutan puak tertentu agar tidak keterlaluan.

Berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Anwar berkata rakyat perlu diberi kefahaman terlebih dahulu sebelum memperkenalkan sebarang undang-undang bagi mengelakkan reaksi negatif yang boleh merosakkan.

Beliau berkata ia bukan soal komitmen negara terhadap hak asasi manusia, sebaliknya ICERD diperkenalkan tanpa mengambil kira sentimen dalam negara sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Rakyat akan merasa curiga, mereka fikir hak mereka akan dipijak, mereka fikirkan soal prinsip agama mereka, nilai budaya dan kepentingan Bumiputera akan dirugikan.

"Itulah sebabnya mengapa di Parlimen apabila ICERD diperkenalkan saya berdiri, saya katakan ia bukan sesuatu yang salah dengan cadangan itu, tetapi cara ia dipaksa untuk diterima, itu autoritarian," katanya sambil menambah bahawa Suhakam mesti mempertimbangkan kebimbangan orang ramai mengenai ICERD.

Ogos lepas Mohd Hishamudin berkata beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk meratifikasi ICERD sebelum penggal tiga tahunnya sebagai Pengerusi Suhakam tamat pada Julai 2027.

Bagaimanapun kenyataan itu mendapat bantahan antaranya daripada Gabungan Nasionalis (GN) yang berkata ICERD boleh menggugat kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang dijamin di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan