BELANJAWAN 2024 > BERITA

GISB: Orang Ramai Ada Maklumat, Perlu Buat Aduan Pada JAKIM - Mohd Na’im

10/09/2024 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan salah laku syarikat GISB Holdings Sdn Bhd, perlu tampil membuat aduan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menurut  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata maklumat mengenai dakwaan salah laku itu perlu, bagi membantu JAKIM melakukan siasatan terperinci tentang GISB.

“Saya sudah memaklum dan memberi arahan kepada pihak JAKIM untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi GISB. Dalam masa sama, pengadu yang berada di dalam GISB mahupun bekas GISB dan sebagainya, perlu tampil ke hadapan untuk membuat aduan kepada JAKIM.

“Yang menentukan sesuatu ajaran itu sesat ataupun tidak, adalah agensi-agensi Islam di bawah negeri termasuk JAKIM…Cuma yang penting, pihak-pihak yang ada maklumat terperinci (tentang GISB) perlu tampil ke hadapan, daripada kita bawa keluar dalam (platform media sosial) Tiktok dan media sosial yang lain,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memberi jaminan, Jakim akan melaksanakan kajian dan siasatan yang terperinci dalam menyelesaikan polemik berkaitan syarikat GISB itu.

Sabtu lepas media melaporkan Mohd Na’im telah mengarahkan Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan pihak GISB, bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan berhubung dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.

Sementara itu, Mohd Na’im juga menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan siasatan berhubung dakwaan isu berkaitan agama dan eksploitasi kanak-kanak, yang dilakukan pihak GISB.

“Kita percaya kepada profesionalisme yang ada pada PDRM, perkara itu kita serahkan siasatan yang adil,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan PDRM masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan GISB terpalit dengan isu berkaitan agama dan eksploitasi kanak-kanak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan