BELANJAWAN 2024 > BERITA

MAIWP, AKPK Kerjasama Bantu Asnaf Al-Gharimin Keluar Daripada Kemiskinan

09/09/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan  RM1 juta kepada  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu golongan asnaf Al-Gharimin (golongan yang berhutang) keluar daripada kepompong kemiskinan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata melalui peruntukan tersebut, AKPK dapat memberikan perkhidmatan kepada asnaf seperti pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan program pengurusan kredit bagi meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan serta mengawal hutang secara berkesan.

“Kerjasama MAIWP dan AKPK akan memberi satu senario baharu yang  boleh membantu asnaf secara komprehensif  melibatkan pembangunan psikologi, kewangan dan modal insan,” katanya ketika berucap semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AKPK di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya bersama  Ketua Pegawai Eksekutif AKPK  Azaddin Ngah Tasir yang disaksikan oleh Mohd Na’im dan Pengerusi AKPK  Anuar Mohd Hassan. 

Mohd Na’im berkata sehingga Julai lepas MAIWP telah membelanjakan dana zakat berjumlah RM2.2 juta kepada 1,161 penerima Bantuan Menyelesaikan Hutang. 

“Kita harapkan kepakaran yang ada pada AKPK dapat membantu golongan asnaf dari sudut lain. Saya juga harap program yang dilaksanakan dalam kolaborasi itu dapat memastikan mereka (asnaf)  keluar daripada kepompong kemisikinan. 

“Ini merupakan matlamat asal MAIWP, kita tidak hanya mahu beri bantuan secara one-off kerana skim yang disediakan MAIWP  bertujuan untuk membebaskan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan dan memastikan mereka ini suatu masa nanti menjadi pembayar zakat,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan