BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pulau Pinang Hasrat Wujud Lebih Banyak 'Streets Of Harmony' Untuk Pupuk Perpaduan

28/09/2024 07:46 PM

GEORGE TOWN, 28 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak ‘Streets of Harmony’ di negeri itu dalam usaha menggalakkan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata ketika ini terdapat empat ‘Streets Of Harmony’ di Pulau Mutiara dengan menempatkan rumah ibadat pelbagai agama dalam satu kawasan secara harmoni.

"Empat ‘Street Of Harmony’ itu ialah di kawasan Masjid Kapitan Keling di George Town, Seberang Jaya dan Bukit Mertajam serta yang terbaharu hari ini dirasmikan di kawasan Bayan Baru dan kesemua tempat berkenaan menempatkan rumah-rumah ibadat secara harmoni.

"Dalam perancangan adalah di Ampang Jajar, Butterworth yang akan diwujudkan, namun ia satu kawasan pembangunan yang baharu dan masih memerlukan masa untuk rumah-rumah ibadat dibina di situ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Streets Of Harmony’ Bayan Baru dekat sini hari ini.

Kawasan ‘Streets Of Harmony’ di Bayan Baru terdapat enam rumah ibadat iaitu Tokong Ular, Surau Al-Ubudiah, Kuil Seri Visvanather Sri Visalatchi, Gereja Charismatic Pulau Pinang, Gurdwara Sahib Bayan Baru dan Tokong Than Hsiang.

Mengulas lanjut, Chow memaklumkan kerajaan negeri sentiasa komited untuk mempromosikan keharmonian di negeri itu dan sebanyak RM1.3 juta telah diperuntukkan kepada Penang Harmony Corporation (HARMONICO) bagi mencapai matlamat berkenaan.

Seterusnya Chow menyatakan ia juga antara usaha kerajaan negeri untuk memupuk nilai harmoni dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Sementara itu, beliau berkata Pulau Pinang juga telah membangunkan eRIBI iaitu pangkalan data rumah ibadat bukan Islam yang telah diperkenalkan sejak 2022 dan berfungsi sebagai pusat sehentian untuk menghubungkan kerajaan negeri dengan komuniti rumah ibadat bukan Islam bagi memastikan sistem  pengurusan boleh dilakukan dengan lebih sistematik serta teratur.

Sehingga hari ini, hampir 1,500 rumah ibadat bukan Islam telah mendaftar di bawah sistem eRIBI dengan kerjasama daripada semua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan