BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025: Mycron Steel Seru Kerjasama Awam-Swasta Bantu Capai Neutraliti Karbon

29/09/2024 11:07 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Pengeluar keluli Mycron Steel Bhd menyeru agar kerjasama awam dan swasta turut diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2025 dalam usaha membantu Malaysia mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Mycron Steel Bhd baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan JFE Steel Corporation, syarikat dari Jepun untuk memacu penyelesaian keluli hijau di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya Roshan Mahendran Abdullah berkata adalah penting kerajaan dan pihak industri bekerjasama untuk memacu inisiatif penyahkarbonan serta menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor keluli Malaysia.

Malaysia sebelum ini berikrar untuk menjadi negara sifar bersih pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050. 

Penyahkarbonan, yang mengurangkan pelepasan jumlah karbon terutamanya karbon dioksida ke atmosfera, penting untuk mencapai neutraliti iklim melalui peralihan tenaga.

Roshan berkata terdapat pengeluar keluli yang mendapat manfaat daripada Dana Inovasi Eropah, yang menyokong inovasi dalam teknologi rendah karbon.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak yang didapati melakukan pencemaran di negara Kesatuan Eropah (EU) perlu membayar pelepasan gas rumah hijau mereka melalui Sistem Perdagangan Emisi (ETS), pendekatan berorientasikan pasaran untuk mengawal pencemaran dengan menyediakan insentif ekonomi bagi mengurangkan pelepasan bahan pencemar.

Wang yang diperoleh daripada ETS itu akan dilabur semula ke dalam Dana Inovasi berkenaan, satu daripada program pembiayaan terbesar di dunia untuk teknologi rendah karbon berinovatif. 

"Sejak beberapa tahun lepas, EU telah memberikan subsidi berbilion euro kepada syarikat keluli untuk menyokong usaha penyahkarbonan," katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MOU itu.

Sehubungan dengan itu, Roshan Mahendran berkata syarikatnya berharap pendekatan serupa boleh diguna pakai di dalam negara melibatkan kerjasama pembuat dasar Malaysia dan industri keluli, serta menambah baik akses kepada tenaga boleh baharu yang mampu milik untuk menyokong peralihan negara ini ke arah kemampanan.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan