BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025: Bon Hijau, Rebat Cukai Bantu Firma Telekomunikasi Beralih Kepada TBB

30/09/2024 10:44 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Langkah memperkenalkan bon hijau yang kompetitif, pengurangan atau rebat cukai menerusi Belanjawan 2025 akan menggalakkan syarikat termasuk firma telekomunikasi untuk beralih kepada tenaga boleh baharu (TBB) dalam operasi masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Edotco Group Sdn Bhd Mohamed Adlan Ahmad Tajudin berkata insentif sedemikian boleh memudahkan pelaburan dalam penyelesaian tenaga lestari.

“Ini akan membantu mengimbangi kos pendahuluan yang tinggi, yang perlu dihadapi peserta industri dan menggalakkan mereka menggunakan sumber tenaga bersih seperti solar dan angin.

“Selain itu, program pulangan tunai untuk inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sama seperti untuk pembelian kenderaan elektrik, boleh dipertimbangkan. Ini mungkin menarik syarikat telekomunikasi untuk menyepadukan amalan kemampanan dengan matlamat hijau negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai harapan terhadap Belanjawan 2025 bagi industri itu.

Alternatif adalah untuk menambah baik akses kepada bon hijau dan pilihan pembiayaan yang kompetitif untuk projek TBB, ditambah dengan piawaian pelaporan ESG yang ketat.

“Ini akan menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan di samping mendorong syarikat untuk meningkatkan usaha ketelusan dan kemampanan, mendorong lembaga pengarah untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap inisiatif ESG,” katanya.

Mohamed Adlan berkata syarikat telekomunikasi di Malaysia pada masa ini menghadapi peningkatan kos penggunaan tenaga berikutan permintaan yang semakin meningkat terhadap kebolehcapaian rangkaian.

Beliau berkata walaupun TBB seperti solar menjadi pilihan namun, pelaksanaannya kekal mencabar kerana sifat rangkaian telekomunikasi yang berlandaskan geografi, menjadikannya sukar untuk mencatatkan keuntungan dari segi kos dan mencapai penyelesaian cekap tenaga.

Selain itu, ketersediaan sumber tenaga hijau mampan yang terhad juga menjadi kekangan untuk peralihan kepada TBB, katanya.

Beliau berkata di Malaysia, perniagaan boleh melanggan sijil tenaga boleh baharu (REC), memperoleh manfaat daripada skim Tarif Galakan (FIT) atau pemasangan panel solar berdasarkan mekanisme pemeteran tenaga bersih.

Bagaimanapun, bekalan TBB masih terhad berdasarkan pihak yang cepat akan dapat, katanya.

Mohamed Adlan juga mengalu-alukan rangka kerja yang menggalakkan syarikat telekomunikasi untuk menyertai projek solar berskala besar (LSS) dan program kecekapan tenaga, yang akan membolehkan sektor itu mengurangkan jejak karbon di samping mengekalkan kecekapan operasi.

Ini termasuk memperuntukkan projek LSS khusus untuk industri telekomunikasi, katanya.

“Pada masa ini, pengeluar tenaga solar (SPP) cenderung untuk menandatangani perjanjian bekalan (SSA) dengan industri yang menggunakan tenaga yang tinggi, seperti kilang, daripada syarikat telekomunikasi yang mempunyai pelepasan yang agak rendah.

“Apabila syarikat telekomunikasi menyertai SSA secara kolektif, ini boleh mendorong perjanjian menjadi lebih menarik bagi SPP, menggalakkan harga kompetitif yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata pendekatan kolektif itu juga akan mempercepat penggunaan TBB oleh industri, sejajar dengan matlamat kemampanan Malaysia di samping memastikan penyelesaian tenaga kos efektif untuk telekomunikasi.

Mohamed Adlan berkata Edotco, yang merupakan syarikat infrastruktur telekomunikasi telah mencapai kemajuan ketara dalam transformasi TBB sejak ditubuhkan pada 2012.

Sehingga kini, syarikat itu mengendalikan 2,604 menara telekomunikasi di Asia dengan 159 menara di Malaysia, Pakistan (184), Myanmar (381) dan Bangladesh (1,880), yang kini menggunakan RE.

“Ini menunjukkan usaha kami dalam memperluas penggunaan TBB merentas operasi kami dan menyumbang kepada peralihan hijau di rantau ini,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual embentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt ini di Parlimen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan