BELANJAWAN 2024 > BERITA

Penggunaan Spektrum, Frekuensi Berbeza Dikaji Atasi Masalah Liputan Dalam Bangunan - Fahmi

30/09/2024 03:18 PM

Oleh Hasnah Jusid

SEOUL, 30 Sept (Bernama) -- Malaysia akan mengkaji penggunaan spektrum dan frekuensi yang berbeza seperti digunakan di Korea Selatan bagi mengatasi masalah liputan Internet dalam bangunan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keberkesanan kaedah itu telah dibuktikan di Korea Selatan yang turut menghadapi masalah sama sebelum ini. 

“Mereka (LG U+) memaklumkan satu penyelesaian melibatkan satu frekuensi, satu spektrum. Jadi saya minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) teliti dapatan dan pandangan daripada pihak LG U+ sekiranya ia sesuai dan boleh dimanfaatkan di Malaysia, kita akan usahakan proof of concept (bukti konsep),” katanya kepada Bernama. 

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif LG  U+ Johan Sue-hyun Chung dan pegawai kanan syarikat telekomunikasi itu, serta mendengar taklimat berhubung status liputan rangkaian 5G di Korea Selatan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng.

Fahmi turut diberi taklimat mengenai aplikasi kecerdasaan buatan (AI) yang dibangunkan LG U+ untuk membantu pengguna menjawab panggilan telefon selain mengesan sekiranya ia mempunyai unsur-unsur penipuan.

Selain itu, beliau juga dibawa melawat LG Sciencepark bagi melihat sendiri kompleks pusat penyelidikan serta kajian terbesar di Korea Selatan yang mempamerkan produk syarikat itu dalam bidang automotif dan logistik menggunakan teknologi AI.

Dalam pada itu, Fahmi meminta pihak Telekom Malaysia (TM) dan LG U+ melihat potensi kerjasama bagi pelaksanaan 5G khususnya untuk syarikat tempatan dalam sektor perindustrian dan perusahaan. 

Ditubuhkan pada 1996, LG U+ ialah syarikat telekomunikasi terkemuka Korea Selatan yang diiktiraf untuk 5G, jalur lebar dan IoT yang canggih.

Fahmi kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Korea Selatan. 

Beliau antara lain akan menyampaikan ucap tama pada persidangan GSMA Mobile 360 APAC dan meneroka peluang kerjasama baharu dalam industri perfileman, serta bertemu wakil pengurusan syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan input berkait kesalinghubungan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan