BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kerajaan Tingkatkan Tadbir Urus Dengan Pendigitalan, Inisiatif Audit Berasas Risiko - Lim

30/09/2024 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan komited untuk meningkatkan tahap piawaian tadbir urus, dengan Jabatan Audit Negara memulakan projek transformatif yang menekankan kepada kepentingan pendigitalan, pengauditan berasaskan risiko dan tadbir urus kolaboratif.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pelaksanaan analisis dan papan pemuka audit yang terkini itu memastikan negara proaktif, dan bukan sekadar reaktif dalam mengenal pasti risiko dan memastikan setiap wang daripada pembayar cukai turut diambil kira.

“Satu daripada asas transformasi ini adalah pindaan kepada Akta Audit 1957, detik bersejarah yang akan meningkatkan keupayaan pemantauan kita.

“Ini membolehkan pejabat Ketua Audit Negara memperluas jangkauan dan kuasa, memberikan gambaran lebih terperinci mengenai perbelanjaan awam dan memastikan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kerajaan kekal teguh,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Institut Juruaudit Dalaman (IIA) Kebangsaan 2024, hari ini.

Lim berkata masa depan tadbir urus terletak kepada kerjasama antara badan kerajaan, organisasi swasta dan profesional audit.

Sehubungan itu, beliau berkata mereka perlu bekerjasama untuk membangunkan model tadbir urus yang boleh disesuaikan, bertanggungjawab dan bersedia untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Dengan mengintegrasikan prinsip kemampanan, memanfaatkan teknologi dan menggalakkan ketelusan, kita boleh mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah untuk generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menghargai peranan IIA Malaysia berikutan berada di barisan hadapan untuk menggalakkan tadbir urus, pengurusan dan kawalan risiko yang berkesan sama ada dari segi jaminan atau bimbingan.

“Ia telah lama memperjuangkan pengintegrasian piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), langkah keselamatan siber dan penggunaan teknologi yang beretika dalam rangka kerja audit.

“Teras ini -- ESG, keselamatan siber dan inovasi -- bukan sekadar topik ‘trending,’ ia adalah masa depan tadbir urus yang mampan.

“Menerusi inisiatif seperti persidangan ini, IIA terus membina komuniti juruaudit yang bersedia untuk memimpin dari segi mengintegrasikan daya tahan terhadap setiap aspek prestasi organisasi,” katanya.

Lim berkata visi IIA Malaysia adalah selari dengan tuntutan landskap tadbir urus baharu ini, iaitu memperkasa juruaudit dalaman sebagai penggiat utama dalam memastikan organisasi yang mampan dan beretika.

“Sama ada dengan cara meningkatkan pemahaman kita mengenai teknik audit dipacu kecerdasan buatan atau menerapkan sistem pengesanan penipuan, saya yakin IIA Malaysia komited untuk melengkapkan juruaudit dalaman dengan alatan dan pengetahuan agar cemerlang dalam bidang yang sedang berkembang ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan