BELANJAWAN 2024 > BERITA

Terima Guna Piawaian Audit Dalaman Global Perkukuh Kelebihan Daya Saing Malaysia

30/09/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Penerimagunaan Piawaian Audit Dalaman Global baharu yang ditetapkan berkuat kuasa pada 9 Jan, 2025 akan memperkukuh daya saing Malaysia, menurut Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia).

Presiden Mohd Khaidzir Shahari berkata Piawaian Global, berasaskan 15 prinsip panduan, menawarkan peluang kepada ahli lembaga pengarah, pengurusan dan fungsi lain untuk bekerjasama rapat dengan juruaudit dalaman sebagai rakan transformasi dalam menangani ancaman yang muncul dan memanfaatkan peluang.

“Audit dalaman kini perlu bekerjasama dengan pihak pengurusan, memastikan ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah dimaklumkan mengenai sebarang risiko yang dihadapi syarikat.

"Ini adalah peranan penasihat yang perlu dilakukan juruaudit dalaman, seperti yang ditetapkan dalam piawaian itu,” katanya semasa meja bulat media, yang diadakan sempena Persidangan Institut Juruaudit Dalaman Kebangsaan 2024 di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, piawaian audit dalaman berpandukan Rangka Kerja Amalan Profesional Antarabangsa (IPPF).

Mohd Khaidzir berkata piawaian global baharu itu menyediakan panduan kepada badan berkanun untuk sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, sekali gus meningkatkan tadbir urus dalam bidang utama seperti isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta keselamatan siber.

Sejak 2008, kerajaan Malaysia telah mewajibkan syarikat senaraian awam mewujudkan fungsi audit dalaman untuk meningkatkan ketelusan melalui tadbir urus korporat.

Bagaimanapun, pematuhan yang masih secara sukarela kepada piawaian audit dalaman global, menyebabkan banyak organisasi terdedah kepada risiko dan kehilangan peluang untuk penciptaan nilai.

Mohd Khaidzir berkata piawaian global baharu itu menetapkan keperluan minimum untuk audit dalaman, terpakai bagi sektor komersial dan awam, tanpa mengira saiz organisasi.

Menurut IIA Malaysia, kini terdapat 827 juruaudit dalaman bertauliah di negara ini.

Penerimagunaan piawaian itu secara konsisten akan meningkatkan profesion, memupuk kepercayaan, kebolehpercayaan dan keyakinan terhadap kerja juruaudit dalaman di seluruh dunia.

Akhirnya, komitmen sejagat terhadap piawaian itu akan memperkukuh reputasi profesion sebagai aset yang amat diperlukan komuniti perniagaan, tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan