BELANJAWAN 2024 > BERITA

Thailand Alu-alukan Pelaburan Google Bernilai US$1 Bilion

01/10/2024 12:01 AM

BANGKOK, 30 Sept (Bernama) -- Thailand meraih pelaburan besar daripada gergasi teknologi Google yang bernilai US$1 bilion (US$1 = RM4.12) untuk membina pusat data dan wilayah awan yang pertama di negara itu.

Pengumuman berkenaan dibuat pada Isnin berikutan pertemuan antara Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dengan Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat di Rumah Kerajaan di Bangkok.

Perdana Menteri Paetongtarn mengalu-alukan keputusan Google untuk melabur dalam infrastruktur digital Thailand dan memuji syarikat itu kerana menyokong Dasar Awan Pertama kerajaan, yang menumpukan kepada peningkatan pengurusan data, memperkemas proses dan mewujudkan perkhidmatan e-kerajaan yang berkesan.

"Bagi pihak kerajaan Thailand, saya berterima kasih kepada Google atas kepercayaannya terhadap potensi Thailand untuk menyokong perniagaan syarikat. Saya yakin mesyuarat hari ini akan mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan dan Google," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan bersama dengan Porat di sini.

Perdana Menteri turut mengiktiraf kerjasama erat antara Google dan Lembaga Pelaburan (BOI) Thailand yang telah berusaha untuk memudahkan penubuhan pusat data pertama negara itu.

"Kerjasama ini menunjukkan keyakinan Google terhadap Thailand dan menekankan kesediaan infrastruktur digital kami yang kukuh dan tenaga kerja mahir," tambah Paetongtarn.

Di samping mengetengahkan infrastruktur digital Thailand, Perdana Menteri menggalakkan Google untuk meneroka peluang kerjasama seterusnya dengan institusi-institusi pendidikan di negara itu.

Beliau berkata ini akan membantu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja masa depan Thailand dan menyediakan mereka untuk mendepani ekonomi digital yang berkembang pesat.

Paetongtarn turut mengesahkan komitmen kerajaan bagi meletakkan Thailand sebagai hab yang berkembang maju untuk operasi Google yang memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan Thai di seluruh rantau ASEAN.

Bagaimanapun, Ruth Porat yang berkongsi semangatnya untuk projek itu, mengesahkan pelaburan Google yang bernilai US$1 bilion akan menyokong pembinaan pusat data dan wilayah awan di Thailand.

Tambah beliau, pelaburan itu dijangka mewujudkan kira-kira 14,000 pekerjaan antara 2025 dan 2029 serta menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.

"Dianggarkan projek ini akan menyuntik kira-kira US$4 bilion kepada KDNK Thailand menjelang 2029," kata Porat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan