BELANJAWAN 2024 > BERITA

Sebagai Ikon Dan Wira, Atlet Berperanan Dalam Pembinaan Negara - Hannah

01/10/2024 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Barisan atlet yang sering dianggap sebagai ikon dan wira bukan sahaja berperanan membawa nama Malaysia dalam arena sukan tetapi juga dalam pembinaan negara terutama menerusi pengaruh mereka kepada generasi muda, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menyedari peranan yang besar dan penting itu, beliau menyeru atlet supaya menggunakan platform media sosial masing-masing secara berhemah dan penuh tanggungjawab.

“Saya lihat atlet mempunyai peranan dalam pembinaan negara khasnya mereka mempunyai akses kepada generasi muda terutama kanak-kanak yang melihat mereka sebagai satu contoh, inspirasi dan ikon.

“Jadi saya minta atlet guna media sosial mereka dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab kerana mereka ada suara untuk memberikan dorongan kepada generasi muda,” kata Hannah ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Penajaan Hadiah Insentif Milo Kepada Atlet-Atlet Kontinjen Malaysia Di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Menurut Hannah, mesej yang disampaikan atlet negara selepas mengalami kekalahan atau kejayaan adalah amat penting kerana ia mampu memberikan impak besar kepada generasi muda.

Selain itu, beliau berpandangan teladan atlet adalah sesuatu yang tidak boleh diraih di dalam kelas.

“Menang atau kalah itu adalah sukan tetapi mesej selepas kekalahan ataupun kemenangan itu yang sangat bernilai dan berharga untuk masuk ke dalam hati kanak-kanak.

“(Sebagai contoh) kalau mereka lihat beregu badminton wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan atlet terjun wanita Nur Dhabitah Sabri boleh bangkit jadi mereka pun boleh. Ini contoh-contoh yang mereka tak boleh belajar di dalam kelas di sekolah tetapi melalui akses kepada atlet-atlet yang mereka suka dan cintai di media sosial,” kata Hannah.

Dalam pada itu, majlis hari ini menyaksikan kesemua 56 atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 masing-masing menerima imbuhan sebanyak RM10,000.

Antara yang hadir ialah Pearly, Nur Dhabitah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek), Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict (terjun), Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga) dan Muhammad Imann Aiman Muhammad Redzuan (para renang).

Di Paris 2024, Malaysia membawa pulang dua gangsa dalam Sukan Olimpik dan dua emas, dua perak, satu gangsa dalam Sukan Paralimpik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan