BELANJAWAN 2024 > BERITA

MIDF Research Jangka Momentum Pertumbuhan Ekonomi Positif Malaysia Akan Kekal

01/10/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Momentum ekonomi Malaysia yang positif dijangka kekal dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila Indeks Pelopor (IP) naik kepada 5.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2024. 

IP ialah instrumen yang digunakan untuk menjangka arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, MIDF Research berkata ini merupakan pertumbuhan bulan kelapan berturut-turut, didorong terutamanya oleh peningkatan kukuh dalam import sebenar semikonduktor (36.7 peratus tahun ke tahun) dan Indeks Perindustrian Bursa Malaysia (35.4 peratus tahun ke tahun).

“Peningkatan berterusan IP menunjukkan ekonomi Malaysia akan terus berkembang secara positif pada separuh kedua 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melihat kepada peningkatan berterusan IP, MIDF Research mengekalkan unjurannya bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada 5.0 peratus daripada 3.6 peratus pada 2023, disokong oleh perbelanjaan domestik yang meningkat dan perdagangan antarabangsa yang pulih.

Pada asas bulan ke bulan, IP meningkat semula sebanyak 1.1 peratus bulan ke bulan berbanding penurunan 0.4 peratus pada Jun 2024.

Ini terutamanya berikutan pertumbuhan berterusan dalam import sebenar semikonduktor (1.0 peratus bulan ke bulan) dan jumlah pendaftaran syarikat baharu yang meningkat (0.5 peratus bulan ke bulan).

Sementara itu, MIDF Research terus mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berkembang lebih pesat pada 5.0 peratus.

“Asas pertumbuhan positif akan berterusan pada separuh kedua 2024 seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan IP yang berterusan dan kami menjangka ekonomi Malaysia berkembang pada tahun ini, disokong oleh perbelanjaan domestik yang meningkat dan perdagangan luar yang pulih,” katanya.

Bagaimanapun, ia terus berhati-hati bahawa prospek pertumbuhan Malaysia dijangka terjejas oleh risiko seperti pertumbuhan negara utama yang lemah (seperti China dan Amerika Syarikat), ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat dan gangguan baharu kepada rantaian bekalan dan aliran perdagangan global. 

“Selain itu, kemungkinan peningkatan semula tekanan inflasi berikutan perubahan dasar yang dirancang dijangka menjejaskan sentimen pengguna dan perbelanjaan yang mengikut budi bicara mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan