BELANJAWAN 2024 > BERITA

RMK13 Tumpu Usaha Rapat Jurang Sosioekonomi Ikut Negeri, Utamakan Kebajikan Rakyat

02/10/2024 12:06 AM

SHAH ALAM, 1 Okt (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menumpukan usaha merapatkan jurang sosioekonomi dan pembangunan mengikut negeri serta wilayah secara bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata ia selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mahu mengimbangi antara tumpuan pembangunan ekonomi dan hasrat orang awam berkaitan kebajikan serta mutu hidup rakyat biasa sepanjang tempoh lima tahun pelan pembangunan negara itu.

“Kita harap usaha untuk merapatkan jurang sosioekonomi dan pembangunan mengikut negeri serta wilayah dapat diganding secara bersama kerana selalunya beban memajukan ekonomi digalaskan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan atas alasan peruntukan itu mesti datang daripada Persekutuan.

“Hasrat kita ialah supaya tidak ada jurang besar kerana kita tahu apabila menjadi sebuah negara maju, ia tidak diukur semata-mata dari segi angka-angka ekonomi tetapi juga tentang bagaimana kebajikan serta mutu hidup rakyat biasa disediakan sesuai dengan status sebuah negara maju,” katanya.

Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus (SLU) RMK13 bersama Kerajaan Negeri Selangor yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Selangor adalah negeri pertama menjadi tuan rumah SLU bagi mengumpul idea dan pandangan berhubung perancangan pembangunan lima tahun negara yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kerajaan negeri, penggiat ekonomi serta wakil industri dan orang awam. 

Rafizi berkata RMK13 sangat penting kerana jika unjuran ekonomi sedia ada berjalan dengan baik, ia akan menjadi dokumen yang membolehkan Malaysia mencapai taraf negara berpendapatan tinggi dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata untuk itu, perkara remeh-temeh dan politik picisan perlu diketepikan supaya setiap negeri dapat mengemukakan idea serta perancangan melalui anjakan berbeza agar cadangan tersebut mampu diangkat dan dibangunkan oleh kementerian untuk dimasukkan ke dalam dokumen penting berkenaan.

Rafizi juga berkata dokumen itu, yang dijamin berbeza dari segi visi, hala tuju dan perancangan lima tahun negara berbanding RMK sebelum ini, dijadual dibentangkan di Parlimen pada Julai 2025.

“Proses yang bermula hari ini sangat penting dan akan berterusan hingga lengkap kesemua 14 negeri, dan dengan garis masa yang pendek, kita harap menjelang akhir tahun ini rangka kasar yang menggariskan keputusan atau cita-cita besar negara dapat dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dokumen RMK13 akan dimuktamadkan dari segi penyediaan menjelang April 2025 diikuti proses kelulusan sehingga ke peringkat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan