BELANJAWAN 2024 > BERITA

Liga Super: Perak FC Rayu Penyokong Hadir Saksi Aksi Terakhir Di Stadium Perak

01/10/2024 09:53 PM

IPOH, 1 Okt  (Bernama) -- Perak FC merayu sokongan padu penyokongnya untuk hadir memenuhi Stadium Perak di sini sekali gus memeriahkan dan memberikan suasana positif kepada pasukan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada 5 Okt ini.

Pengurus Besar Perak FC Neow Choo Seong berkata ini kerana perlawanan itu merupakan detik penting kepada pasukan dan peminat bola sepak negeri ini sebelum stadium tersebut menjalani pengubahsuaian dan baki aksi musim ini dipindahkan ke venue baharu di Manjung.

Beliau berkata tiada yang lebih mendebarkan bagi pasukan itu ketika bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ‘rumah’ mereka, selain bertemu dengan JDT pasukan paling kuat dalam bola sepak Malaysia.

“Moral dalam kem kami ketika ini sangat tinggi dan pemain bersedia untuk memberikan prestasi terbaik mereka. Ini merupakan perlawanan terakhir di Ipoh, ia bukan sekadar bola sepak tetapi meraikan perjalanan yang kita kongsi bersama dengan penyokong setia sepanjang musim.

“Bagaimanapun, kita juga meminta agar penyokong menunjukkan rasa hormat dan tingkah laku yang baik sepanjang perlawanan. Kita mahu semua fokus kepada keseronokan perlawanan di padang dan elakkan konflik di luar padang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Neow mengakui berdepan dengan pasukan JDT yang memiliki kemahiran tinggi merupakan tugas mencabar tetapi beliau yakin dengan kemampuan skuadnya.  

Beliau berkata pemain perlu memberikan yang terbaik untuk menjadikan saingan lebih kompetitif dan pasukan juga memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong bagi melonjakkan prestasi mereka.

“Kita jadikan perlawanan terakhir di Stadium Perak musim ini sesuatu yang boleh dikenang sementara menunggu keterujaan bermain di ‘rumah’ baharu di Manjung, terima kasih kepada semua penyokong kami atas kesetiaan dan dedikasi mereka kepada Perak FC. Bersama-sama kita akan lebih kuat,” katanya.

Perlawanan antara Perak FC dan JDT di Stadium Perak itu sepatutnya berlangsung pada 17 Ogos lepas tetapi terpaksa ditunda disebabkan cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan. 

Pada 26 Sept lepas, media melaporkan Perak FC dalam kenyataan memaklumkan sesi pemeriksaan telah diadakan dan dihadiri oleh wakil pasukan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Majlis Perbandaran Manjung, Astro dan pasukan video bantuan pengadil (VAR) bagi menilai keadaan terkini Stadium Manjung.

Dilaporkan hasil pemeriksaan mendapati Stadium Manjung bersedia untuk menjadi venue aksi Liga Super dan Piala MFL buat skuad Perak FC yang berbaki musim ini.

Perak FC  berada di tempat keempat dalam carta liga dengan 15 mata selepas 10 perlawanan manakala JDT mendahului di tempat pertama dengan 31 mata daripada 11 permainan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan