BELANJAWAN 2024 > BERITA

Restoran Lai Po Heen Rai Ulang Tahun Ke-25 Dengan Mengimbau Menu Nostalgia

01/10/2024 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Restoran Kantonis terkenal di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Lai Po Heen, memperingati ulang tahun ke-25 kecemerlangan kulinari dengan sambutan eksklusif yang mengimbau kembali nostalgia pada 1999.

Dalam kenyataan hari ini, Mandarin Oriental Kuala Lumpur memaklumkan bermula 8 Okt hingga 8 Dis ini orang ramai berpeluang menikmati sajian yang terdapat di dalam menu restoran itu sama seperti ketika ia memulakan operasi 25 tahun lepas. 

"Promosi ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada sejarah dan pelanggan setia Lai Po Heen sepanjang 25 tahun yang lepas. Lai Po Heen terkenal dengan cita rasa Kantonis asli dan kualiti luar biasa," menurut kenyataan itu.

Antara hidangan yang ditampilkan ialah dim sum kegemaran ramai seperti ladu udang kara kukus dengan telur ikan dan daun emas, popia ayam goreng rangup dengan foie gras, pastri paf daging wagyu Australia goreng, ladu ikan kerapu kukus dengan sos halia dan bawang serta banyak lagi.

Para pengunjung akan berpeluang menikmati semula rasa kegemaran masa lalu, sambil merasai pengalaman yang membangkitkan suasana tahun-tahun awal restoran berkenaan.

Mandarin Oriental Kuala Lumpur memaklumkan promosi ini juga sebagai satu bentuk sambutan perjalanan restoran itu, mengundang pelanggan lama dan pengunjung baharu untuk merasai sejarah dan evolusi destinasi kulinari.

Selama lapan minggu, pengunjung dapat menikmati hidangan pada harga sama seperti 1999 yang menawarkan nilai hebat, sambil menikmati ciptaan kulinari ikonik Lai Po Heen.

Sementara itu, Pengurus Besar Mandarin Oriental Kuala Lumpur Martin Schnider berkata promosi ini merupakan cara untuk menghargai pelanggan setia yang telah menyokong Lai Po Heen sejak 1999, sambil menjemput tetamu baharu untuk merasai rasa yang membentuk permulaan restoran ini.

“Kami amat berbangga untuk meraikan 25 tahun menyajikan masakan Kantonis asli kepada komuniti di bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Lai Po Heen juga akan memperkenalkan menu ala carte serba baharu dengan ciptaan kulinari seperti sup tulang ikan superior dengan udang, kekapis, cendawan enpiko dan bayam dalam kelapa muda, ayam kampung reneh dengan cendawan truffle hitam dan kambing perap goreng dengan cili potong serta hirisan bawang putih yang tersedia untuk makan tengah hari dan makan malam.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan, sila hubungi +603 2380 8888.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan