BELANJAWAN 2024 > BERITA

PM Anwar Akan Diberi Penghormatan Rasmi Di Lapangan Terbang Dhaka

04/10/2024 01:15 PM

DHAKA, 4 Okt (Bernama-BSS) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual tiba di Dhaka petang ini akan diberi penghormatan untuk memeriksa barisan kawalan kehormat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal.

Ketibaan beliau akan disambut Penasihat Utama Bangladesh, Profesor Muhammad Yunus pada 2.30 petang (4.30 petang waktu Malaysia), lapor Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS) memetik sumber dari Kementerian Luar Bangladesh.

Perdana Menteri akan diiringi delegasi yang terdiri daripada anggota Kabinet, menteri, ahli Parlimen, dan pegawai kanan kerajaan sepanjang lawatan ini.

Beliau juga akan diiringi konvoi rasmi menuju ke Hotel InterContinental Dhaka, dan Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Profesor Muhammad Yunus.

Kedua-dua pemimpin akan mengadakan rundingan dua hala yang dijangka merangkumi pelbagai isu kepentingan bersama seperti kerjasama ekonomi, hubungan politik, perdagangan dan pelaburan, migrasi buruh, pendidikan, teknologi, pembangunan infrastruktur, serta kerjasama pertahanan.

Bangladesh dijangka meminta sokongan Malaysia dalam menangani krisis pelarian Rohingya yang berlarutan, selain memperkukuh usaha negara itu untuk menjadi "Rakan Dialog Sektoral" dalam kerangka ASEAN, menurut Penasihat Luar Bangladesh, Touhid Hossain dalam satu taklimat media baru-baru ini.

Selepas pertemuan itu, satu kenyataan media bersama akan dikeluarkan.

BSS juga melaporkan bahawa Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Bangladesh, Mohammed Shahbuddin di Bangabhaban.

Anwar merupakan ketua kerajaan pertama yang mengucapkan tahniah kepada kerajaan interim Bangladesh selepas ia mengambil alih pentadbiran.

Lawatan ini juga menandakan kunjungan rasmi pertama oleh ketua kerajaan asing sejak kerajaan sementara yang dipimpin Muhammad Yunus memegang tampuk pemerintahan selepas kejatuhan kerajaan Liga Awami pada 5 Ogos lalu.

Perdana Menteri Malaysia dijangka meninggalkan Dhaka sekitar 6 petang, menamatkan lawatannya yang berlangsung selama sehari.

-- BERNAMA-BSS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan