BELANJAWAN 2024 > BERITA

Poole Selangkah Dinobat Juara Keseluruhan LTdL 2024

05/10/2024 06:49 PM

BINTULU, 5 Okt (Bernama) -- Pelumba Britain, Max Poole dari pasukan DSM-Firmenich PostNL  menghampiri gelaran juara keseluruhan selepas menamatkan saingan di laluan terpanjang peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Miri ke Bintulu, hari ini. 

Pelumba berusia 21 tahun itu yang unggul menyarung Jersi Hijau (juara keseluruhan) sejak peringkat ketiga, menamatkan perlumbaan sejauh 199.3 kilometer (km) dalam kelompok besar menduduki tempat ke-50 dengan catatan keseluruhan 23 jam 20 mnit 06 saat (s).

Beliau dipisahkan 13 saat dengan pelumba JCL Team UKYO Thomas Pesenti dalam perebutan jersi berkenaan.

Peringkat terakhir esok melibatkan laluan mengelilingi bahagian Bintulu sejauh 147.5km pastinya tidak sukar untuk Poole yang dalam misi mencipta sejarah sebagai juara termuda perlumbaan jelajah berbasikal yang diperkenalkan sejak 1996 itu.

Poole berkata beliau menuntut bantuan rakan sepasukan bagi mengekalkan Jersi Hijau seterusnya membolehkannya muncul juara keseluruhan pada perlumbaan peringkat kemuncak esok.

"Kita akan guna strategi sama untuk perlumbaan akhir esok,” katanya.

Pelumba Itali Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan 4:18.03s, diikuti Arvid de Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team dan rakan sepasukan, Maikel Zijlaard masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Dalam pada itu, Jersi Jingga (Raja Pecut) kekal milik Kleijn apabila mengutip 66 mata, hanya dipisahkan satu mata dengan Malucelli.

Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) pula kekal milik pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi  dengan catatan 23:22.24s diikuti rakan sepasukan, Yuma Koishi (23:25.05s) kedua dan pelumba Aisan Racing Team, Keigo Kusaba (23:25:09s) ketiga.

Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio Munoz pula semakin hampir membawa pulang Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas mengutip 27 mata, diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team dengan 12 mata.

Perlumbaan peringkat terakhir esok, menawarkan tiga zon pecutan di Kem Batu 18, Lasar Kenyalang 1 dan Lasar Kenyalang 2.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan