BELANJAWAN 2024 > BERITA

Program Larian Disertai Pelancong Berpakaian Tidak Sopan Bukan Anjuran Kerajaan Johor

05/10/2024 09:54 PM

JOHOR BAHRU, 5 Okt (Bernama) -- Program larian yang didakwa disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) bukan anjuran kerajaan negeri, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Beliau menegaskan pihaknya juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri ini. 

Onn Hafiz berkata setelah berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur, objektif penganjuran acara berkenaan bukanlah seperti yang dinyatakan dan kejadian yang berlaku itu adalah di luar kawalan pihak penganjur.

"(Bagaimanapun), kerajaan negeri memandang serius terhadap isu ini dan telah meminta siasatan lanjut dijalankan oleh pihak PDRM, " katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya malam ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan acara mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan kedaulatan agama Islam serta menjatuhkan imej Johor secara keseluruhan. 

"Pada masa sama, kita berharap agar isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan dan mengancam keharmonian negeri serta kesucian agama Islam, " katanya. 

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar Fauziah Misri dilaporkan memohon agar pihak berkuasa menyiasat mengenai program itu dengan beliau difahamkan acara asalnya merupakan Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang dianjurkan sebuah persatuan.

Bagaimanapun beliau berkata menerusi gambar-gambar yang tular didapati peserta program terbabit berpakaian tidak sopan malah ada yang separuh bogel dan mempromosi LGBT.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tujuh saat dan beberapa gambar menerusi laman sosial memaparkan mengenai acara larian itu termasuk persembahan tarian di sebuah hotel di Bandar Penawar, Kota Tinggi. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan