BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kumpulan Fokus Tumpu Enam Bidang Tambah Baik CPI Malaysia

06/10/2024 03:06 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Kumpulan fokus yang baru ditubuhkan bakal memberikan tumpuan kepada enam bidang bagi menambah baik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Azam ketika dihubungi Bernama berkata enam bidang berkenaan adalah penguatkuasaan, pengurusan dana awam, komunikasi strategik, daya saing perniagaan, risiko pelaburan dan perundangan.

“Kumpulan fokus ini berperanan berdasarkan terma rujukan iaitu menganalisis dapatan kaji selidik dan indikator berkaitan, serta mengesyorkan cadangan penambahbaikan kepada Pasukan Petugas Khas CPI,” katanya. 

Beliau berkata kumpulan fokus itu juga perlu menerajui sesi libat urus bersama pemegang taruh di bawah bidang masing-masing untuk meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan berhubung inisiatif kerajaan dalam meningkatkan CPI.

“Kumpulan itu juga perlu mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI. 

“Mereka juga perlu melaporkan status serta hasil tindakan kumpulan masing-masing kepada Pasukan Petugas Khas CPI yang akan melaporkan dapatan syor tersebut kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN),” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata kumpulan fokus yang dibentuk berdasarkan beberapa bidang akan membolehkan kajian sumber dilakukan.

“Kumpulan fokus itu akan mencari jalan penambahbaikan agar sasaran Malaysia berada dalam kelompok 25 negara teratas dalam CPI pada 2033 tercapai,” katanya yang turut menganggotai Pasukan Petugas Khas CPI. 

Beliau berkata kumpulan fokus akan melakukan sesi libat urus secara berterusan dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan Malaysia mampu ke hadapan dalam membasmi gejala rasuah.

“Skop yang mahu dilihat bukan semata-mata rasuah tetapi juga isu tatakelola, ketelusan, integriti dan demokrasi,” katanya. 

Pasukan Petugas Khas CPI yang bermesyuarat kali pertama pada Khamis lepas (3 Okt) dilaporkan bersetuju menubuhkan kumpulan fokus bagi melaksanakan tindakan penambahbaikan CPI di negara ini. 

SPRM dalam kenyataan memaklumkan kumpulan fokus itu diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Kementerian Kewangan dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Turut serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Komunikasi. 

CPI merupakan indeks persepsi rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman sejak 1995. 

Ranking Malaysia dalam CPI melonjak daripada 61 pada 2022 kepada 57 pada 2023.

Kerajaan ketika ini menubuhkan Pasukan Petugas Khas CPI untuk mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.

Ia selaras penetapan sasaran kedudukan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia menjelang tempoh 10 tahun sepertimana termaktub dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan