BELANJAWAN 2024 > BERITA

KKM Sedia Bantu Siasatan Kemalangan Maut Tiga Pelajar UiTM Di Dungun

10/10/2024 04:37 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedia membantu Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan siasatan kemalangan maut membabitkan tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun di Jalan Pantai Sura, Dungun, Terengganu semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM boleh menyalurkan kepakaran dalam pelbagai sudut teknikal dan perubatan yang diperlukan MOT.

“Kita akan berikan kerjasama kepada pihak kementerian khasnya Kementerian Pengangkutan dalam perkara ini.

“Apa pun kita akan memberikan pandangan teknikal dan perubatan berasaskan bukti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata panggilan kecemasan berhubung kemalangan maut itu diterima pihaknya pada 7.26 malam sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi nahas.

Dalam kejadian itu, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal  jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 ditunggang mangsa dan sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan manakala pemandu wanita yang dipercayai menunjukkan tanda-tanda masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.

Sementara itu, Dzulkefly berkata dakwaan kononnya peniaga perlu membelanjakan wang besar bagi menaik taraf kabinet pameran selaras Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah tidak benar.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan oleh peniaga hanya mematuhi larangan pameran produk merokok seperti yang telah ditetapkan. 

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) Hong Chee Meng meminta KKM menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di bawah Akta 852 kerana didakwa terlalu drastik dan dibuat tergesa-gesa tanpa pertimbangan diberikan kepada peruncit kecil yang akan menghadapi cabaran dari segi kos pelaksanaan.

Akta 852 merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam, mula berkuat kuasa 1 Okt lepas.

Akta 852 dikuatkuasakan dengan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk terbabit secara terbuka di premis perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan