BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bomba N.Sembilan Tingkatkan Pemantauan Di 123 Lokasi Berisiko Banjir

10/10/2024 06:20 PM

SEREMBAN,10 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan meningkatkan pemantauan di 123 lokasi berisiko banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka  bermula lebih awal.

Pengarah JBPM Negeri Sembilan Abdul Khair Osman berkata antara kawasan berisiko ialah Kampung Jimah dan Kampung Baru Tanah Merah Site A di Port Dickson serta Kampung Ulu Mambau, Seremban dan Kampung Paya, Rembau.

“Kita telah membuat persiapan bagi kesiapsiagaan operasi dan mobilisasi aset menghadapi MTL di negeri ini. Lokasi yang kita kenal pasti ini akan diberi lebih tumpuan dari segi anggota dan logistik.

"Kalau hujan lebat melebihi 20 minit, anggota kita akan memantau kampung-kampung berkenaan untuk tindakan awal sekiranya perlu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 1,119 anggota dengan 41 bot sedia digerakkan bagi menghadapi bencana itu yang kini persediaannya telah berada pada tahap 100 peratus.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh yang pada mulanya diramalkan berlaku bulan depan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan meminta masyarakat berwaspada kemungkinan banjir kerana MTL dijangka lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini susulan perubahan cuaca.

Abdul Khair berkata selain banjir, pihaknya turut memberikan tumpuan kepada pokok tumbang memandangkan 12 peratus operasi menyelamat tahun ini membabitkan insiden itu yang meragut tiga nyawa.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air di pantai termasuk di Port Dickson sepanjang MTL dan pihaknya akan sentiasa melakukan rondaan di kawasan tersebut.

"Kita juga memberikan taklimat kepada pasukan bomba sukarela di negeri ini agar sentiasa bersedia, malah semua aset mereka juga berada dalam keadaan baik, sekiranya berlaku bencana mereka boleh digerakkan membantu," katanya.

Sementara itu, Abdul Khair berkata jumlah kerugian akibat kebakaran dari Januari hingga September tahun ini ialah RM47.6 juta manakala taksiran harta yang diselamatkan bernilai RM737 juta.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kes kebakaran di Negeri Sembilan yang dicatatkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 1,397 kes.

"Kebakaran melibatkan jenis struktur bangunan berjumlah 262 kes, manakala kenderaan sebanyak 155 kes. Kebakaran terbuka yang merangkumi kebun, ladang, hutan, belukar, lalang dan sampah pula 556 kes," katanya. 

Beliau berkata kes kebakaran terbuka tertinggi direkodkan pada Mac melibatkan 220 kes dengan purata kes kebakaran terbuka di negeri ini 30 kes sebulan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan