BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bapa, Tiga Anak Bakal Bersaing Catat Masa Terbaik Pada Ironman 70.3 Esok

11/10/2024 02:33 PM

LANGKAWI, 11 Okt (Bernama) -- Walaupun perlu bersaing dengan tiga anak yang berusia 30-an, Ayob Yahaya, 62, tekad untuk mencatatkan masa terbaik pada Kejohanan Ironman 70.3 di Langkawi, esok.

Ayob dari Shah Alam dan bekerja sebagai jurutera minyak berkata dia bersama tiga anaknya, Arif Azraei, 30; Amira Alysa, 33, dan Arif Ashraf, 35, perlu menamatkan kejohanan itu yang melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90 km dan larian 21.1 km.

"Saya mula menyertai Ironman ini pada tahun 2022 iaitu saya sertai Ironman 70.3 dan ketika itu anak saya, Amira Alysa yang datang beri sokongan...pada 2023 pula, saya buat Ironman Malaysia dan pada masa itu ketiga-tiga anak saya juga sertai Ironman 70.3 tetapi mereka buat secara berkumpulan.

"Tahun ini, saya cabar mereka untuk sertai Ironman 70.3 secara individu dan saya belikan basikal untuk mereka...jadi, kita akan lihat esok macam mana, mungkin mereka lebih laju dari saya dalam disiplin berenang dan larian tetapi berbasikal mungkin saya lebih pantas," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Beliau yang berjaya menamatkan Ironman Malaysia tahun lepas dengan catatan masa 16 jam setengah berkata dia juga mula berjinak dengan dunia triathlon pada 2021 selepas berjaya mengatasi fobia berenang di laut terbuka.

"Kalau ikut, saya mula pada usia yang agak lewat kerana saya takut untuk berenang di laut terbuka tetapi selepas beberapa cubaan, saya berjaya atasi perasaan takut itu...begitu juga anak-anak, mereka berjaya menguasai disiplin berbasikal dalam tempoh setahun sahaja," katanya.

Sementara itu, anak sulung Ayob, Arif Ashraf yang juga bekerja sebagai jurutera minyak berkata dia dan dua adiknya menyertai Ironman 70.3 secara individu tahun ini selepas dicabar ayahnya.

"Ayah sudah berusia tetapi dia dapat habiskan Ironman Malaysia tahun lepas, jadi kalau dia boleh, kenapa kami tidak boleh. Jadi, kami ambil ia sebagai cabaran...masing-masing yakin boleh tamatkan kejohanan dengan catatan masa yang baik.

"Kami adik-beradik memang aktif sukan tetapi dalam acara berlainan yang mana saya aktif berlari, Amira Alysa aktif angkat berat manakala Arif Ashraf pelbagai jenis sukan, jadi untuk Ironman ini kami memerlukan skil yang baharu sebab itu kami akan berlatih dan menyertai kejohanan yang lain bersama sebagai persediaan untuk esok," katanya.

Seramai 1,800 atlet dari lebih 50 negara akan berentap membuktikan kekuatan dan kecergasan masing-masing pada Kejohanan Ironman 70.3 dan Ironman Malaysia 2024, di sini, esok.

Ironman Malaysia melibatkan berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180 km dan larian 42.2 km 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan