BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kerjasama Kolektif Jayakan Pasukan Petugas Standard, Regulatori Dan Keselamatan Nanoteknologi

11/10/2024 08:18 PM

BANGI, 11 Okt (Bernama) -- Pasukan Petugas Standard, Regulatori dan Keselamatan Nanoteknologi mengharapkan kerjasama kolektif daripada pelbagai pihak terutama pemain industri dan masyarakat.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata langkah itu membolehkan anggota pasukan berkenaan mendapatkan maklumat terkini berkaitan penggunaan bahan nanoteknologi dalam pelbagai produk khususnya kosmetik dan makanan sebelum dikongsikan kepada masyarakat.

“Oleh yang demikian, kita perlu membuat rujukan dan perbincangan dengan pemain industri tentang bagaimana ia (nanoteknologi) boleh dikomersialkan dan dimasukkan dalam produk harian yang kita gunakan seperti produk kosmetik dan makanan.

“Kita juga mahu mendedahkan kepada masyarakat (tentang produk yang mengandungi nanoteknologi) supaya mereka tidak tertipu terutama oleh pengeluar produk mendakwa produk yang dikeluarkan mengandungi nanoteknologi,” katanya kepada media selepas melancarkan penubuhan pasukan itu pada majlis penutup program Nanoteknologi Kebangsaan (nanoKEB) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata Pasukan Petugas Standard, Regulatori dan Keselamatan Nanoteknologi yang ditubuhkan pada April lepas itu mempunyai empat kluster iaitu standard, regulatori, keselamatan dan pendidikan.

Aminuddin berkata pasukan yang dianggotai wakil MOSTI, tenaga pakar dan pengajar daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) serta industri itu ditubuhkan bagi membangunkan amalan serta garis panduan berkaitan keselamatan bahan dan produk nano.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan tenaga pakar IPT sebab mereka selalu melaksanakan kajian dan R&D (penyelidikan dan pembangunan). Dengan ini kita akan dapat banyak penemuan yang membantu kita mengembangkan sektor nanoteknologi dalam produk pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai nanoKEB 2024, Aminuddin berkata program lima hari bermula Isnin lepas melibatkan hampir 1,000 peserta terdiri daripada pemain industri, pelajar IPT, tenaga pakar serta penyelidik dari dalam dan luar negara.

“Selama lima hari ini, tujuan program adalah untuk menghimpunkan semua pakar dalam bidang nanoteknologi, mereka akan berkongsi pengalaman, rujukan dan maklumat berkaitan bidang itu,” katanya.

NanoKEB merupakan program anjuran bersama Pusat Nanoteknologi Kebangsaan dan beberapa agensi lain antaranya Lembaga Teknologis Malaysia, MIMOS Bhd, Universiti Putra Malaysia dan Persatuan Nanoteknologi Malaysia.

Program itu menjadi platform untuk penggiat nanoteknologi berkongsi pengetahuan terkini dan amalan terbaik dalam bidang berkenaan melalui persidangan, seminar, mesyuarat, demonstrasi teknologi, pertandingan teknologi dan pameran.

NanoKEB 2024 turut menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran tentang kepentingan nanoteknologi dalam kalangan peserta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan