BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pengambilalihan MASwings Dimuktamadkan Tidak Lama Lagi - Abang Jo

12/10/2024 11:11 AM

KUCHING, 12 Okt (Bernama) -- Proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata proses pengambilalihan itu kini di peringkat rundingan lanjutan.

“Sarawak memerlukan khidmat penerbangan untuk berada di bawah kawalannya sendiri bukan sekadar sebagai kemudahan membawa penumpang keluar dan masuk tetapi lebih penting ia merupakan satu pelaburan untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke-78 di sini, hari ini.

Pada 23 Nov tahun lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata kerajaan Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings sebagai persediaan untuk pengambilalihan.

Dr Jerip berkata rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham dalam MASWings.

Sementara itu, Abang Johari berkata kajian pembangunan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu kini sedang dijalankan.

Menurut Premier lapangan terbang baharu itu bakal diinspirasikan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.

“Lapangan terbang ini juga nanti akan dilengkapi kemudahan canggih sejajar dengan sasaran untuk membangunkan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan serantau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan