BELANJAWAN 2024 > BERITA

HSN 2024 Disambut Meriah Di Seluruh Negara, Angkat Semangat Kesukanan Pelbagai Kaum

12/10/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Hari Sukan Negara (HSN) 2024 diraikan penuh meriah dengan mengangkat semangat kesukanan di seluruh negara melalui pelbagai aktiviti yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Sambutan HSN diperkenalkan pada 2015 bertujuan untuk membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif ke arah negara bersukan.

Di KEDAH, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasmikan sambutan peringkat negeri di Universiti Utara Malaysia, Sintok dengan lebih 11,000 peserta menyertai pelbagai aktiviti termasuk 'fun run' sejauh tiga kilometer (km) dan kayuhan basikal sejauh lima km seawal 7 pagi tadi.

Saifuddin dalam ucapannya berkata aktiviti sukan bukan sahaja mengangkat maksud perpaduan kerana melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, malah turut boleh dijadikan sebagai industri.

"Penyertaan reruai pelbagai agensi dan pihak juga menunjukkan hasrat penganjuran HSN telah tercapai," katanya yang turut diiringi Exco Belia dan Sukan Kedah Muhamad Radhi Mat Din.

Dalam pada itu, di PULAU PINANG lebih 10,000 orang daripada pelbagai kaum dan peringkat umur turut serta dalam HSN 2024 yang diadakan di Padang Dato Haji Ahmad Badawi, Butterworth.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata HSN 2024 peringkat Pulau Pinang bukan sekadar menyemarakkan semangat sukan tetapi juga sebagai platform untuk memupuk semangat perpaduan antara pelbagai lapisan masyarakat.

"Pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur antaranya acara 10km Kayuhan MADANI, 10km Larian Untuk Negara dan 5km Berjalan Ria MADANI,  malah terdapat juga Klinik Bola Sepak Bawah 12 Akademi Wira Muda, Aero Jamm dan sukaneka KEMAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan HSN 2024 peringkat negeri hari ini.

Selain itu, sukan rakyat seperti congkat, terompah gergasi, tarik upih, dam haji, boling kelapa, pertandingan sepak raga tuju, kabaddi, Himpunan Waja Diri, jualan barangan sukan dan jualan makanan turut memeriahkan HSN Pulau Pinang.

Sementara itu, di PERAK menyaksikan kira-kira 8,000 peserta menyertai aktiviti HSN 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Tahun ini Perak menyasarkan penyertaan seramai 42,000 di peringkat daerah untuk HSN 2024 yang dipenuhi dengan aktiviti seperti kayuhan basikal, larian, dan senamrobik dengan melibatkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 5,000 peserta mengambil bahagian dalam acara ‘run, rise and walk’ di D’Tempat Country Club, Sendayan pada 7.30 pagi tadi.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mustapha Nagoor berkata pelbagai pengisian aktiviti sempena HSN 2024 bermula hari ini sehingga 13 Okt yang merangkumi semua jenis sukan termasuk sukan rekreasi, Berjalan Ria Madani, Larian Untuk Negara, Fun Ride Fun Race, Fit Malaysia Run, Aerobikton, Pertandingan Pickleball, Pertandingan Aerobic Dance, Tabata dan pelbagai lagi.

Anakanda kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz berkenan merasmikan HSN 2024 peringkat negeri hari ini.

Di TERENGGANU, Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Malaysia sempena HSN 2024 berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak dengan kehadiran lebih 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.  

Program yang dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Azman Adnan itu menampilkan pelbagai aktiviti kecergasan dan sukan termasuk Larian dan Kayuhan MADANI, simulasi lompat tali dan simulasi sukan tradisional.

 Azman berkata selain memastikan murid dan pelajar sekolah diberi peluang bergiat aktif dalam semua kegiatan sukan supaya mereka kekal sihat, program seumpama ini dapat mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai bidang sukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan